Namun, pengalaman pula biasanya datang daripada kesilapan yang kita lakukan.

Inilah hakikat sebenar kehidupan manusia. Janganlah mudah menyesal dengan apa yang berlaku kepada kita, sebaliknya belajar daripadanya dan teruskan kehidupan.

Penulis teringat kepada kata-kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nokia, Stephen Elop pada sidang media mengenai penjualan syarikat telekomunikasi dari Finland ber­kenaan kepada Microsoft pada 2013.

Dalam sidang media tersebut, Elop menamatkan ucapannya dengan berkata: “Kita tidak melakukan sebarang kesilapan, bagaimanapun kita tetap kalah.”

Ketika berkata demikian, seluruh pegawai dan pekerja Nokia termasuk dirinya sendiri mengalirkan air mata.

Kita semua tahu Nokia adalah sebuah syarikat telekomunikasi yang hebat suatu ketika dahulu. Mereka adalah antara pengeluar telefon bimbit terbesar di dunia dengan hampir separuh manusia di bumi ini menggunakan produk keluaran mereka.

Namun, pada 2010, syarikat gergasi ini tidak bertahan lama. Mereka mula meng­alami kemerosotan dan kerugian sehingga menyaksikan syarikat ini gagal untuk menjual banyak produk baharu sehingga rugi.

Nokia sebenarnya tidak melakukan sebarang kesilapan dalam perniagaan, namun mereka tidak sedar bahawa dunia ini telah berubah dengan terlalu pantas.

Mereka juga tidak sedar pesaing-pesaing juga semakin maju. Mereka gagal untuk belajar dan gagal untuk melakukan perubahan, sekali gus terlepas peluang terbaik untuk meneruskan kehebatan mereka.

Mereka bukan sahaja terlepas untuk mencipta keuntungan yang besar, malah terlepas peluang untuk kelangsungan hidup mereka sendiri.

Mungkin satu-satunya kesilapan yang mereka lakukan ialah mereka sebenarnya gagal untuk melakukan perubahan.

Dalam kehidupan, jika kita tidak berubah, kita akan ketinggalan. Bukan satu ke­silapan untuk menolak sesuatu yang baharu, tetapi jika fikiran dan tanggapan kita tidak seiring dengan perubahan masa, maka kita akan tewas.

Ingatlah, kelebihan yang kita ada hari ini tidak berkekalan, sebaliknya ia boleh digantikan oleh trend pada masa akan datang.

Kita tidak perlu melakukan sebarang kesilapan, tetapi selagi kita tidak mengikut arus perubahan, maka kita akan tetap kalah dan tumbang jua akhirnya.

Untuk berubah dan memperbaiki diri sendiri adalah ibarat memberi peluang kedua kepada kita. Kalau kita enggan belajar dan memperbaiki diri, sudah pasti akan menjadi tidak relevan lagi pada masa hadapan.

Jika kita sedar ini adalah satu kesilapan dan enggan menjadikannya sebagai platform untuk berubah, maka kita sebenarnya tidak belajar daripada kesilapan.