Itu tidak termasuk yang memasuki negara ini secara haram menggunakan laluan tidak sah sama ada jalan darat mahupun jalan laut, jalan udara juga tidak ketinggalan.

Mengikut statistik daripada Kementerian Sumber Manusia pada tahun 2018, dianggarkan terdapat 6.7 juta pekerja asing di Malaysia, dan 2.1 juta daripadanya adalah warga asing yang mempunyai permit kerja manakala selebihnya adalah ‘imigran haram’.

Mereka yang masuk ke negara ini terdiri daripada pelbagai warganegara antaranya Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Vietnam. Ada juga mereka yang datang dari benua Afrika.

Baru-baru ini isu kehadiran warga asing terutama dari Afrika di negara ini dibangkitkan semula.

Ia susulan kes pembunuhan kejam yang berlaku ke atas Siti Kharina Mohd. Kamarudin yang merupakan Ketua Jururawat di Hospital Serdang, Selangor.

Ibu tiga anak berusia 40 tahun itu pada mulanya dilaporkan hilang di tempat kerjanya pada 8 Mei lalu dan kehilangan itu terungkai selepas mayatnya dijumpai dengan kesan kelar pada dada dan leher di rumah sewanya di sebuah kondomi­nium di Cyberjaya seminggu kemudian.

Susulan kematian mangsa, polis menahan tiga warga asing termasuk seorang wanita dan salah seorang merupakan suspek utama adalah lelaki warga Nigeria. Pemeriksaan mendapati lelaki itu mengenali mangsa dan dia telah pun didakwa di Mahkamah Sepang kelmarin atas pertuduhan membunuh.

Penahanan lelaki warga asing itu me­nimbulkan pelbagai reaksi kurang senang dalam masyarakat Malaysia.

Bilangan warga Afrika di Malaysia khususnya di Lembah Klang memang ramai malah ada lokasi seperti Cyberjaya, Puchong, Cheras dan Kepong dilabel sebagai kawasan Awang Hitam kerana bilangan warganegara itu yang ramai di kawasan berkenaan.

Selepas suspek kes Siti Kharina ditangkap, pihak berkuasa melakukan beberapa serbuan di Selangor dan Kuala Lumpur untuk menggempur Awang Hitam. Terima kasih kepada pihak berkuasa yang menjalankan operasi membanteras pendatang asing itu.

Cuma pada hemat penulis, operasi menggempur warga asing seharusnya dilakukan setiap masa bukan bermusim atau sekiranya berlaku kes jenayah sahaja. Mereka yang melakukan kesalahan wajar berdepan dengan undang-undang negara ini.

Tidak kiralah kesalahan jenayah ataupun Imigresen ini demi untuk memastikan Malaysia sentiasa dalam keadaan aman.

Selain itu komuniti setempat juga perlu memainkan peranan masing-masing dengan me­laporkan kepada pihak berkuasa.

Mereka perlu menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat bagi memudahkan polis atau Imigresen menjalankan operasi di samping risikan sendiri.

Pada hari ini dalam era teknologi segala maklumat dan aduan boleh disalurkan menggunakan hujung jari sahaja.

Tepuk dada tanya selera apakah peranan sebagai masyarakat adakah kita akan menunggu berlaku kes baru hendak bertindak. Sesal kemudian tiada gunanya. Al-Fatihah buat roh arwah Siti Kharina.