Ini bermakna penjawat awam mendapat tambahan satu lagi kenaikan gaji tahunan 2018, di samping pergerakan gaji tahunan yang dite­rima pada Januari lalu.

Boleh dikatakan semua orang ingin naik gaji dan mempunyai gaji yang tinggi.

Bagaimanapun, dalam dunia pekerjaan, tinggi rendahnya gaji seseorang bergantung kepada jenis profesion dan pe­ngalaman yang dimiliki. Pekerjaan dengan gaji tinggi juga memiliki risiko yang tinggi.

Antara pekerjaan dengan gaji purata paling tinggi di dunia ialah doktor pakar bius dan pakar bedah, ketua pegawai eksekutif (CEO), pengurus teknikal, juruterbang dan pengawal trafik udara.

Mempunyai kaitan langsung dengan nyawa manusia membuatkan doktor pakar bius dan pakar bedah memiliki gaji lebih tinggi berban­ding doktor biasa. Anggaran gaji purata gaji mereka di Amerika Syarikat lebih RM1 juta setahun.

CEO merupakan jawatan tertinggi dalam syarikat. Tugasnya membuat keputusan-keputusan yang memberi kesan positif pada perniagaannya. Purata gaji mereka, RM600,000 setahun.

Pengurus kanan teknikal adalah orang yang bertanggungjawab dan mengurus operasi sesebuah perusahaan.

Mereka mengawasi para jurutera, karyawan dan pekerja teknikal yang mengendalikan mesin atau sesebuah projek. Gaji mereka kira-kira RM500,000 setahun.

Juruterbang pesawat ko­mersial? Gaji mereka ada yang mencecah RM500,000 setahun. Ramai yang dikatakan menjadi kaya-raya tetapi jarang pulang ke rumah.

Mereka harus menjaga ratusan nyawa penumpang dalam setiap penerbangan.

Ketika beberapa juta sahaja manusia memperoleh pendapatan lumayan, berbilion lagi di berbagai-bagai tempat di dunia mempunyai penda­patan sederhana atau cukup-cukup makan sahaja.

Malah, di Bangladesh, penduduknya mendapat upah bekerja yang paling rendah di dunia iaitu kira-kira RM900 setahun. Negara itu terkenal dengan industri tekstil, tanah yang subur dan sektor perbankan. Namun, Bangladesh juga mempunyai kos sara hidup paling murah di dunia.

Negara berpendapatan rendah lain ialah Republik Demokratik Kongo (RM1,680 setahun), Burundi (RM2,240), Eritrea (RM2,260), Liberia (RM2,620), dan Nigeria (RM2,660).

Isu gaji dan pekerjaan telah lama menjadi topik hangat di serata dunia. Isu gaji ibarat hari yang tiada penghujung.

Di alam pekerjaan, kemahiran dan pengalaman turut diambil kira dalam menentukan bayaran gaji seseorang.

Ada juga yang gaji besar kerja sedikit.

Sungguhpun bergaji rendah namun bersyukurlah kerana masih mempunyai pekerjaan.

Terdapat berjuta-juta orang di dunia yang belum ada kerja tetap dan masih bergelut untuk mencari pekerjaan pertama.

Minggu lalu, syarikat ke­reta api India, Indian Railway mendedahkan, ia menerima permohonan kerja daripada dua juta orang hanya untuk mengisi 100,000 jawatan kosong.

Menurut akhbar Economic Times, ramai pemohon yang mempunyai kelulusan akademik lebih tinggi daripada syarat yang ditetapkan malah ada pemegang ijazah PhD yang memohon jawatan juru­teknik.

Malah pada tahun 2015, pemerintah Uttar Pradesh, negeri yang paling ramai penduduk di India, menerima 2.3 juta permohonan untuk mengisi 368 pekerjaan peringkat rendah di pejabat kerajaan.

Jadi, jika anda ada kerja sekarang anggaplah ia satu rahmat kerana ada peluang untuk bekerja dan melakukan sesuatu dengan bakat dan kemahiran yang ada.

Sama ada kita melakukannya untuk wang ringgit, nyala rasa atau sesuatu tujuan yang mulia, belajarlah bersyukur.

Sekurang-kurangnya kita ada tugas yang perlu dibereskan dan ada gaji yang dite­rima pada akhir bulan walaupun tidak setanding doktor pakar, CEO, juruterbang atau penjawat awam yang bakal dinaikkan gaji lagi.

Justeru, sebagai tanda ­syukur kerana masih ada kerja dan masih ada ofis, be­kerjalah dengan bersungguh-sungguh dan sepenuh hati.