Jika cadangan itu diluluskan Dewan Rakyat, jumlah pengundi berdaftar yang layak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah seramai kira-kira 21 juta orang berbanding 14.9 juta pengundi pada PRU-14 lalu.

Walaupun ia dilihat seperti satu langkah yang lebih kepada kepentingan politik, namun hakikatnya ia sebenarnya satu transformasi baharu yang boleh memacu kepada kemajuan pemikiran dan budaya di negara kita.

Bagi penulis, tanggapan bahawa warganegara berusia 18 tahun dianggap belum matang dan tidak boleh membuat keputusan bijaksana adalah tidak boleh diterima.

Ini kerana arus teknologi yang semakin moden dalam suasana pembelajaran dan persekitaran generasi muda dilihat telah memainkan peranan penting ketika membentuk pemikiran mereka.

Generasi muda kini lebih terdedah kepada perkongsian maklumat yang luas, pengaruh media sosial serta kecanggihan teknologi, sekali gus menyaksikan mereka menjadi generasi yang semakin pintar dan matang berfikir serta berdikari.

Justeru, mereka yang berusia 18 tahun ketika ini boleh dikategorikan sebagai golongan yang bermaklumat dan dianggap berupaya untuk membuat keputusan secara bijaksana demi kepentingan masa depan negara.

Sebenarnya, ada banyak kelebihan tersendiri jika remaja berusia 18 tahun sudah diberi kebenaran mengundi dan salah satunya ialah ia bakal memberi lebih banyak kebebasan kepada rakyat negara kita terutamanya remaja untuk menjadi penentu kepada hala tuju negara.

Dalam kehidupan manusia, jika seseorang itu diberi peluang untuk membuat satu perubahan untuk dirinya atau negara, seseorang itu pastinya akan menjadi lebih bertanggungjawab terhadap dirinya dan juga negaranya.

Cara ini secara tidak langsung boleh menggamit mereka untuk lebih ‘kisah’ dengan landskap politik selain menanam rasa cinta dan tanggungjawab dalam diri mereka.

Seperti kata-kata Uncle Ben kepada Peter Parker dalam filem Spider-Man: “Semakin besar kuasa yang dimiliki, semakin besar tanggungjawab yang perlu dihadapi”.

Maksud kuasa di sini bukan saja menjurus kepada kekuatan fizikal, namun ia juga boleh merujuk kepada sesuatu yang lebih umum iaitu daya seseorang itu untuk melakukan sesuatu perubahan.

Bagi penulis, jika ‘kuasa’ mengundi turut diberi kepada generasi muda, tidak mustahil satu transformasi kemajuan yang lebih segar dan moden akan berlaku kepada negara kita.

Kebanyakan negara-negara maju seperti Britain, Amerika Syarikat (AS), Kanada, Jerman, Perancis dan Jepun telah pun mengubah had layak mengundi negara mereka kepada usia 18 tahun.

Situasi ini membuktikan bahawa arus kemajuan sesetengah negara itu sebenarnya sedikit sebanyak bergantung kepada tenaga dan idea yang disumbangkan oleh orang-orang muda.

Golongan remaja ini akan lebih bertanggungjawab dalam memastikan masa depan mereka mendapat faedah yang menguntungkan daripada keputusan yang telah mereka buat.

Namun, semua ini bergantung kepada mentaliti dan budaya di negara kita. Adakah remaja yang berusia 18 tahun di Malaysia sudah bersedia sepenuhnya untuk menjadi sebahagian daripada penentu masa depan negara?

Jika masa depan sendiri pun masih tidak terjaga, ubahlah kepada usia 18 tahun sekali pun, mereka pasti tidak akan ambil kisah tentang mengundi atau politik.

Bagaimanapun, jika kita tidak melakukan perubahan itu sekarang, sampai bila lagi kita mahu terus ketinggalan dengan negara-negara maju lain.