Dalam konteks media sosial dan alam siber, ini merupakan PRU yang betul-betul menguji keberkesanan dunia tanpa sempadan bagi setiap parti yang bertanding dan calon-calon dipilih baik muka-muka lama mahupun baharu.

Sehingga Disember lalu, terdapat kira-kira 24.5 juta jumlah pengguna internet dalam negara ini berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Jumlah tersebut jauh lebih besar berbanding tahun 2006 iaitu sebanyak 2.6 juta dengan peningkatan 880 peratus.  

Media sosial akan diuji sebagai platform paling penting buat semua parti bagi menyebarkan maklumat-maklumat penting terutama bagi mendekati golongan muda yang sememangnya celik dan cerdik dalam platform media baharu.

Berjaya atau tidak semua itu, ia bergantung kepada percaturan parti-parti yang bertanding bagi mengenal pasti sasaran audiens yang dikehendaki terutama dalam memastikan ia logik dan boleh diterima pakai selepas kerajaan baharu dibentuk kelak.

Perang media sosial pada kali ini dilihat lebih menjurus kepada peranan setiap parti dalam menggotakan janji terutama buat mereka yang berada dalam golongan berpendapatan pertengahan.

Sebelum ini, golongan berpendapatan rendah dilihat mempunyai ke­lebihan tersendiri apabila kerajaan memberi lebih banyak fokus dalam membantu kedudukan ekonomi mereka.

Ramai dalam kalangan pengundi sendiri akan menggunakan media sosial sebagai medium menyuarakan pandangan terhadap apa yang diinginkan dan kenapa ia perlu diberikan perhatian. Ini ialah peluang terbaik buat semua calon-calon yang bertan­ding melakukan pemetaan sendiri mendengar keluh kesah pengundi.

Sejauh mana ia bakal mempengaruhi undi kelak sudah pasti setiap parti tidak mahu mengambil risiko untuk tidak menggunakan media sosial dan hanya bergantung harap pada kempen-kempen secara tradisional.

Bagi pengguna media sosial sejauh mana kita bersedia untuk menghadam semua perihal yang bakal ditaburkan oleh parti-parti yang bertanding dan paling menarik perhatian ketika ini ialah Rang Undang-undang (RRU) Anti-berita Tidak Benar 2018.

Sekiranya ia dilaksanakan kelak, RRU itu akan bertindak sebagai meka­nisme mengekang penyebaran berita palsu dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Sekurang-kurangnya ia akan menapis sebahagian besar berita palsu yang sengaja diada-adakan bagi mewujudkan sentimen dan tanggapan buruk terhadap sesuatu isu terutama menjelang PRU nanti.

Sudah pasti media sosial akan menjadi medan penyebaran berita-beri­ta palsu terutama bagi kepentingan sesetengah pihak dan ia bukan perkara baharu.

Pokok pangkal adakah kita akan cepat melatah ataupun mengambil pendekatan melihat dengan wajar bagi setiap pilihan yang ada untuk memastikan parti dipilih mampu menjamin kelangsungan pada masa akan datang.

Buat pilihan dengan akal, bukan dengan kata hati amarah kerana harus diingat pilihan yang bakal dibuat mungkin akan menyebabkan kita terduduk menyesal disebabkan tersilap melakukan percaturan kerana media sosial hanya sebagai medium, selebihnya kita yang menentukan pada hari pengundian nanti.