Dalam tempoh itu, pelbagai kejutan berlaku sama ada melibatkan kelompok atasan yakni pemimpin dan elit mahupun kelompok bawahan yang mewakili rakyat.

Ada elemen kejutan yang memang dijangka, namun paling menarik perhatian adalah eksploitasi kuasa pihak tertentu dalam menentukan satu-satu keputusan.

Negeri Sabah, dengan kepadatan penduduk melebihi 3.5 juta orang turut tidak terkecuali daripada mene­rima kejutan yang di­sifatkan ramai pihak sebagai satu permuafakatan politik.

Kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke Negeri Di Bawah Bayu itu mengundang seribu satu persoalan dan mencetuskan polemik dalam kalangan rakyat Sabah khususnya pengundi Parti Warisan.

Pada ketika cuaca di ne­geri itu diramal panas sehingga Mac depan, bahang kemasukan parti berasal dari Semenanjung tersebut awal-awal lagi telah membuatkan sesetengah pihak bermandi peluh.

Malah, kenalan penulis yang hidup pada era pentadbiran USNO, Berjaya, Parti Bersatu Sabah, UMNO dan kini Warisan turut tidak ke­tinggalan mengupas situasi itu menerusi perkongsian dalam grup WhatsApp.

Walau hanya bekerja sebagai pemandu lori, kenalan itu cukup lantang menyuarakan pandangannya se­perti mana lantangnya suara rakyat Malaysia ketika me­lakukan ‘protes besar-besar­an’ pada 9 Mei tahun lalu.

Antara yang dipersoalkan ialah penyertaan bekas pemimpin UMNO Sabah bergelar Yang Berhormat (YB) ke dalam Bersatu.

Katanya, kumpulan itu bukan sahaja mempunyai platform parti yang kukuh di peringkat Persekutuan, tetapi secara automatiknya mereka akan bergelar ahli kerajaan di peringkat Dewan Undangan Negeri.

“Kalau semua masuk Bersatu, siapa mahu jadi pembangkang di Dewan Undangan Negeri. Dahulu janji ‘nda’ (tidak) akan masuk, tapi masuk juga... apa ni Bossku,” jelasnya.

Ulasan yang dikongsi kenalan penulis sudah pasti sama dengan apa yang difikirkan ribuan penyokong Warisan di Sabah.

Ironinya, politik Sabah sejak sekian lama memang telah menyajikan pelbagai situasi luar biasa yang akhir­nya menjadi biasa-biasa.

Sebagai contoh, budaya lompat parti seperti sudah menjadi kebiasaan, seolah-olah diletakkan ‘hukum harus’ bagi menunjukkan politik di Malaysia mengamalkan prinsip demokrasi yang adil.

Namun bagi kumpulan pengundi, mereka sebenarnya mempunyai justifikasi sendiri dalam menilai pemimpin yang benar-benar setia dan berprinsip.

Tanpa mahu mengorbankan kepercayaan yang diberikan, rasa kecewa dengan sikap pemimpin jenis cari makan sebegini dikhuatiri memberi kesan buruk pada masa akan datang.

Tanggal 9 Mei lalu telah membuktikan bahawa kuasa sebenar seorang manusia bergelar pengundi mampu mengubah skrip politik tanah air. Bagi rakyat Sabah, mereka sebenarnya telah matang dalam menilai lands­kap politik negeri sejak mencapai kemerdekaan 56 tahun lalu.

Mereka bukan seperti kumpulan terdahulu yang sanggup berpanas terik semata-mata untuk mendapatkan kepingan zink rumah ataupun tangki air.

Mereka juga bukannya penyokong parti yang hanya bertepuk tangan apabila disuruh, berdiri apabila diarah dan diam apabila dimarah.

Apa yang mereka inginkan adalah keperluan hakiki seorang rakyat.

Ia merangkumi soal pembangunan ekonomi yang seimbang, kestabilan dan keharmonian pelbagai kaum, keselamatan serta hak kenegerian dihormati. Itu saja.