Namun, remaja yang merupakan tunjang negara ini masih terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial. Ter­nyata mentaliti golongan ini belum lagi mengalami anjakan paradigma selaras dengan arus pembangunan negara.

Mereka didakwa mudah terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat hasil daripada ketaksuban terhadap media sosial dan internet. Ketagihan melampau terhadap media sosial dilihat sebagai pendorong kepada pembentukan perilaku dan sikap agresif, sehingga ada yang sanggup bertindak di luar jangkaan.

Bagaimanapun, dalam keghairahan kita membincangkan isu remaja, kita seakan-akan terlupa untuk memberi fokus kepada pemimpin-pemimpin yang mentadbir negara pada ketika ini. Ini penting kerana pemimpin hari ini adalah acuan kepada pemimpin masa hadapan. Jika acuannya baik, maka baiklah hasilnya dan begitulah sebaliknya.

Sekiranya pemimpin hari ini tidak mampu menjaga perilaku dan memberikan contoh yang buruk, jangan bermimpi untuk melihat pemimpin masa hadapan yang hebat. Prinsip kepimpinan melalui teladan perlu diterap­kan dalam segenap aspek terutamanya ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-14 ini.

Pentas sudah dibuka dan gendang telah dipalu, jadi berkempenlah dengan cara yang paling berilmiah, berhemah serta saling menghormati. Tidak perlu temberang yang bersifat populis atau sarkastik ketika menyuarakan pendapat.

Perkara yang paling penting adalah tidak mengamalkan politik kebencian, gengsterisme, memaki hamun, rasuah, fitnah atau apa sahaja pendekatan yang tidak baik sehingga boleh mencetuskan krisis perkauman. Jangan sampai menjual agama untuk meraih simpati pengundi, apatah lagi menggunakan ayat-ayat al-Quran atau hadis dalam usaha menjamin kemenangan anda. 

Tidak perlu mereka-reka cerita semata-mata mahu menyelamatkan survival politik anda. Kemukakan bukti atau fakta yang tepat ketika berhujah agar ia boleh dijadikan sebagai sumber rujukan kepada anak cucu kita pada masa hadapan. 

Pada pendapat penulis, berceritalah tentang kebaikan dan kekuatan yang ada pada diri masing-masing atau bendera parti politik yang anda junjung. Jangan sesekali mengaibkan atau membuka pekung pihak lawan. Kita bukan seorang insan yang paling sempurna di planet ini. Kita juga pernah melakukan kesilapan.

Jika kita terlalu ghairah untuk melondehkan kesilapan orang lain, tidak mustahil mereka juga ada ruang untuk mendedahkan keburukan kita. Bangkai gajah masakan boleh ditutup dengan nyiru. Lambat laun, rakyat akan menghidu juga bau busuk itu. Elok bahasa eloklah bangsa, bahasa yang baik menunjukkan budi yang tinggi dan begitulah sebaliknya.

Dalam situasi ini, ia tidak memberikan kebaikan kepada sesiapa, sebaliknya meletakkan negara kita dalam keadaan yang tidak selamat. Wahai pemimpin sekalian, tingkah laku anda sedang diperhatikan terutamanya oleh anak-anak muda.

Jangan jadi seperti ketam me­ngajar anaknya berjalan dengan betul. Jangan salahkan anak-anak kita jika mereka gagal memimpin negara pada masa hadapan. Tokoh-tokoh agama dan ahli-ahli akademik jangan berdiam diri. Tegurlah jika mereka tersasar daripada landasan. 

Jaga mulut, kelakuan dan tingkah laku. Bertandinglah seperti anak jantan. Adat pertandingan, ada yang menang dan ada yang kalah. Siapa pun pemimpin yang di­pilih rakyat pada hari mengundi 9 Mei ini, mereka perlu melaksanakan amanah yang diberikan.
Ketika ini, satu dunia sedang memerhatikan kita dan jangan sampai mereka mentertawakan kita.