Dalam operasi pada pukul 2.50 pagi itu telah dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Rohazah Alwi berkata, menerusi Ops Dadu berkenaan, pihaknya telah berjaya menahan tiga lelaki warga asing berusia dalam lingkungan 20 hingga 32 tahun.

“Semakan mendapati dua lelaki terbabit merupakan warga Myanmar sementara seorang lagi warga Bangladesh yang berperanan sebagai penjaga premis serta pembantu penjaga.

“Hasil soal siasat mendapati, sindiket berkenaan baru sahaja beroperasi sejak sebulan lalu dan hanya memulakan aktiviti perjudian atas talian  bermula pada pukul 2 pagi sehingga lewat pagi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Mengulas lanjut, berbeza dengan sindiket perjudian lain, sindiket berkenaan hanya beroperasi pada awal pagi kononnya bagi mengelak kegiatan perjudian atas talian mereka itu dihidu pihak berkuasa.

“Kita difahamkan, mereka hanya berurusan dengan kaki judi yang juga pelanggan tetap selain pelanggan baru yang diperkenalkan oleh kaki judi lain.

“Pihaknya juga percaya, kegiatan yang didalangi sebuah sindiket ini menggajikan pekerja asing dengan bayaran RM1,400 sebulan yang ditugaskan untuk melakukan pemantauan selain memastikan hanya pelanggan tetap sahaja dibenarkan masuk,” jelasnya.

Menerusi serbuan tersebut, polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai untuk kegunaan berjudi antaranya 11 set komputer riba, tetikus (11 unit), modem wifi (1 unit) serta wang tunai RM151.

Menurut Rohazah, semua warga asing berkenaan ditahan mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki permit kerja yang sah. - K! ONLINE