Upacara pembukaan rasmi temasya edisi ke-18 itu jadualkan berlangsung di venue utama, Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Lebih menarik, republik Sang Garuda akan menyambut sam­butan Hari Kemerdekaan ke-73 sehari sebelum upacara pembukaan dan sudah tentu mereka akan memberikan pengalaman manis khususnya buat lebih 200 juta rakyatnya.

Sebanyak 45 negara di rantau Asia mengesahkan penyertaan pada temasya empat tahun sekali itu dengan kontinjen Malaysia menghantar seramai 426 atlet bersaing dalam 35 acara sukan.

Malaysia yang dipimpin ketua kontinjen, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi menyasarkan untuk berada dalam kelompok 10 negara terbaik menerusi sasaran tujuh pingat emas.

Sukan yang disandarkan harapan untuk meraih emas buat negara ialah boling, karate, silat, berbasikal, sepak takraw, wusyu dan pelayaran.

“Jika Malaysia pernah menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik pada temasya sebelum ini (Sukan Asia 2010), saya tidak nampak kenapa kontinjen kita tidak boleh mengulangi kegemilangan itu pada edisi kali ini atau mungkin me­lakukan sesuatu yang lebih baik daripada itu,” ujar Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada maj­lis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara di Putrajaya Jumaat lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan angka tersebut rea­listik untuk diraih selain ia dapat memperbaiki jumlah pingat yang diraih kontinjen negara yang meraih lima emas pada edisi 2014 di Korea Selatan empat tahun lalu.

“Kita meletakkan sasaran sebanyak tujuh pingat emas pada temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia. Namun, angka tersebut boleh meningkat kepada 11 emas sekiranya segala nasib menyebelahi kontinjen negara,” ujar menteri muda berusia 26 tahun itu.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berharap atlet tidak berasa tertekan de­ngan sasaran pingat yang ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana mereka telah melakukan persiapan yang cukup rapi.

“Saya akui apabila bercakap tentang peluang untuk berada dalam kelompok 10 negara terbaik, ia perlu melangkaui sasaran (tujuh pingat emas) yang telah ditetapkan.

“Berdasarkan persiapan rapi yang lakukan oleh barisan atlet negara dan keadaan di Jakarta serta Palembang, sasaran tujuh emas tidak akan memberi tekanan kepada atlet,” katanya.

Pencapaian terbaik Malaysia di Sukan Asia adalah pada 2010 di Guangzhou, China lapan tahun lalu apabila kontinjen negara meraih sembilan emas, 18 perak dan 14 gangsa.

Bagaimanapun prestasi atlet negara merosot pada aksi di Incheon, Korea Selatan empat tahun lalu apabila sekadar me­raih lima emas dan masing-ma­sing 14 pingat perak serta gangsa.

Selepas pencapaian kurang memberangsangkan pada Sukan Komanwel di Gold Coast setelah meraih tujuh pingat emas, lima perak dan 12 gangsa, Indonesia menjadi pentas terbaik buat para atlet menebus kekecewaan di Australia April lalu.

Pencapaian tersebut disifatkan gagal oleh pengkritik sukan tanah air kerana sasaran utama Malaysia adalah untuk menempatkan diri dalam kelompok 10 negara terbaik dan memperbaiki pencapaian ketika di Glasgow, Sweden empat tahun lalu.

Biarpun berjaya meraih tujuh emas di Gold Coast berbanding enam emas di Glasgow, namun Malaysia sekadar menghuni tangga ke-12.

Lupakan kegagalan di Australia, para atlet perlu melihat ke depan meningkatkan prestasi untuk berada di podium dan membanggakan negara di rantau ini.

Terapkan semangat Malaysia Boleh!, doa rakyat Malaysia mengiringi perjuangan anda di Indonesia.

Buat pembaca, Kosmo! akan memberi liputan terbaik dari Jakarta dan Palembang menerusi laporan dua wartawan, Muhd. Ardie Putra Suhaimi dan Muhammad Ri­duan Mohd. Hanafiah serta Hafiz Johari yang bertindak sebagai jurufoto.

Jadikan akhbar kompak ini sebagai teman harian anda sepanjang temasya ini yang berlangsung dari 18 Ogos hingga 2 September.

Selamat maju jaya buat atlet negara di Indonesia.