Itu hasrat Ketua Pemuda MCA Tanjong Lim Swee Bok untuk menguruskan pengebumian isteri, dua anak dan ibu dalam kebakaran rumah mereka di Pangkalan Weld di sini semalam.

Beliau yang berterima kasih kepada semua pihak yang membantu berkata, kos pengebumian empat anggota keluarganya itu perlu ditanggung oleh keluarganya sendiri sebagai tanda penghormatan terakhir.

"Saya meminta semua pihak termasuk kerajaan Pulau Pinang supaya memberi peluang kepada saya untuk melakukan tanggungjawab yang terakhir ini. Saya dan keluarga akan menanggung segala kos pengebumian anggota keluarga kami," katanya menerusi kenyataan dalam bahasa Mandarin.

Dalam kejadian awal pagi semalam, empat anggota keluarga Swee Bok iaitu isterinya Chen Yen, 35, anak lelaki mereka, Yin Chun, 9, dan anak perempuan, Jia Yiin, 8, serta ibu Swee Bok, Lau Sai Poh, 62,  ditemukan rentung di dalam rumah itu.

Swee Bok berkata beliau amat berterima kasih kepada pelbagai pihak khasnya MCA dan pemimpin kerajaan persekutuan yang tampil memberikan sokongan dan bantuan.

Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui Setiausaha Politiknya Datuk Wong Nai Chee menghulurkan sumbangan kepada Swee Bok bagi meringankan beban keluarga itu.

Wong berkata Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor amat sedih selepas diberitahu kejadian yang menimpa keluarga Swee Bok semalam.

"Saya telah diarah untuk hadir bagi pihak perdana menteri untuk memberi penghormatan terakhir kepada anggota keluarga Swee Bok selain turut memberi sumbangan peribadi Najib untuk meringankan beban keluarga," katanya ketika hadir bersama Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai untuk memberi penghormatan terakhir di sini hari ini.

Terdahulu, Liow yang juga Presiden MCA meminta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta polis agar mempercepatkan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Beliau berkata MCA akan memberi sokongan dan dorongan kepada Swee Bok untuk terus bertabah dalam menghadapi rintangan ini.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua anggota parti khasnya pemimpin MCA negeri, yang sentiasa di sisi Swee Bok pada waktu sukar ini," katanya.

Beliau berkata MCA melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut mengaturkan sesi kaunseling untuk Swee Bok bagi membantu beliau meneruskan kehidupan.

Antara yang turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada anggota keluarga Swee Bok ialah Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun dan Pengerusi MCA negeri Datuk Tan Teik Cheng. - Bernama