Pengerusi Kehormatnya, Datuk Mokhtar Samad berkata, ini kerana terdapat kira-kira 42,000 kontraktor Bumiputera yang berkepakaran dan berkemahiran tinggi untuk terlibat dalam kerja-kerja awam projek tersebut.

“Mereka ini boleh melakukan pelbagai kerja dalam projek tersebut. Apa salahnya jika 40 peratus kuota penglibatan syarikat tempatan Malaysia dalam projek ini perlu melibatkan 20 peratus kontraktor Bumiputera? Persatuan kontraktor minta wujud kuota khas kepada kontraktor Bumiputera.

“Jika tiada kuota khas itu, saya percaya, kontraktor Bumiputera sukar bersaing atau berkongsi dengan syarikat tempatan lain. Ini permintaan logik dari persatuan, saya percaya, kerajaan baharu ini lebih prihatin kepada kontraktor Bumiputera,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 400 orang penduduk sekitar Parlimen Bandar Tun Razak pada majlis anjuran Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) dengan kerjasama persatuan penduduk Kg. Malaysia Raya hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaafar merangkap Anggota Parlimen Bandar Tun Razak.

Pada 15 April lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pembabitan Malaysia dalam kerja-kerja awam projek ECRL ditingkatkan kepada 40 peratus berbanding 30 peratus susulan pemeteraian Perjanjian Tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) pada 12 April.
 
Dalam satu temu ramah dengan Bernama, Wakil Khas Perdana Menteri untuk rundingan semula projek mega ECRL bersama kerajaan China, Tun Daim Zainuddin berkata, sektor pembekalan dan aspek teknikal antara yang perlu direbut kontraktor Bumiputera dan tempatan dalam projek mega tersebut.

Mengulas lanjut, Mokhtar berkata kerja-kerja teknikal, mekanikal dan sivil antara kepakaran tinggi di dalam portfolio kontraktor tempatan yang perlu diberi perhatian kerajaan dan juga pihak MRL untuk sama-sama terbabit membangunkan platform pengangkutan baharu itu.

Beliau berkata, pihaknya juga telah menemui pihak MRL baru-baru ini bagi meminta kerja-kerja pembangunan ECRL itu diberi keutamaan kepada kontraktor Bumiputera.

Dalam pada itu, Mokhtar turut merayu kepada kerajaan supaya tarikh tutup penyerahan pratender kerja-kerja awam ECRL dilanjutkan kepada tiga minggu lagi berbanding tarikh asal iaitu pada 30 Mei ini berikutan musim perayaan dan sambutan Aidilfitri.

Projek ECRL itu dimulakan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini dan digantung tahun lepas oleh kerajaan Pakatan Harapan berikutan membabitkan kos yang tinggi.    

Ia disambung semula pembinaannya dan akan meliputi jajaran baharu dengan jarak landasan dikurangkan sebanyak 40 kilometer selain pengurangan kos daripada RM98 juta kepada RM68 juta bagi setiap kilometer. - Bernama