Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, dakwaan pembangkang kononnya persempadanan semula hanya memberi keuntungan kepada Barisan Nasional (BN) adalah tidak berasas kerana ia dibuat berdasarkan beberapa faktor demi kebaikan pengundi di satu-satu kawasan.

“Sebagai contoh, di Parlimen Kapar, Selangor, tanpa persempadanan semula, jumlah pengundinya boleh meningkat sehingga 160,000 orang. Jumlah itu terlalu besar dan tidak praktikal untuk siapa pun (wakil rakyat) melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Saya pergi ke Kapar baru-baru ini, saya pergi ke Pulau Ketam di sana dikatakan sudah beberapa menteri pergi tapi Ahli Parlimennya tidak pernah sampai ke sana.

“Saya dimaklumkan oleh orang di sana, dikatakan Ahli Parlimen kawasan itu (Manivannan Gowindasamy dari Parti Keadilan Rakyat) tidak sempat sampai kerana kawasan itu terlalu besar,” katanya.