Jika syurga itu murah, Sumaiyah, wanita Islam pertama mati syahid, tidak akan rela berkorban nyawa demi mempertahan akidahnya. Asiah, isteri Firaun, tidak akan melepaskan kemewahan dunia demi istana di syurga, sehingga akhirnya dia dibunuh oleh suami­nya yang kejam. Khadijah isteri Nabi Muhammad SAW pula tidak akan menginfakkan kesemua hartanya untuk perjuangan Islam kalau syurga itu murah.

Menganggap bahawa untuk masuk ke syurga itu mudah ibarat bermimpi pada siang hari. Syurga itu mahal dan harganya cuma boleh ‘dibayar’ apabila lulus ujian berupa mematuhi perintah dan larangan Allah.

Antara perintah tersebut ialah kewajipan wanita berhijab dan menutup aurat. Perintah itu hakikatnya satu penghormatan untuk memuliakan diri seorang wanita. Dari situlah Islam mengangkat darjat seorang wanita melebihi harta, keturunan dan rupa paras de­ngan memberinya agama.

Hijab dapat menjaga aib diri sendiri dan meninggikan martabat dalam mencapai reda Allah jika diamalkan dengan ikhlas dan sempurna.

Namun, bukan semua wanita mampu istiqamah berhijab terutama bagi mereka yang pernah terbiasa tidak memakai tudung. Golongan artis, ahli perniagaan hatta wanita biasa pun ada yang tidak mampu bertahan lebih-lebih lagi jika mereka berhijab sekadar berfesyen atau mengikut trend.

Islam itu mahal harganya. Bukan semua orang mampu membayar harga sebuah penghijrahan daripada membuka aurat kepada berhijab.

Namun, harus diingat bertudung adalah syariat bukan ikut minat. Jangan suka hati hendak pakai bila mahu, buang apabila rasa diri sudah tidak laku, atau perasan diri lebih cantik dan lebih bebas apabila rambut terlepas. Lebih menjengkelkan jika keputusan untuk kembali tidak bertudung itu cuba dihalalkan de­ngan bermacam-macam alasan.

Menurut ulama terkenal, Ibnul Qayyim al-Jauziyah, jalan menuju Allah memang tidak mudah tetapi ada orang pada zaman sekarang mengimpikan syurga de­ngan hanya bersantai dan bersuka ria di dunia.

Ironinya, untuk mendapat kedudukan atau meraih pencapaian tertinggi di dunia pun perlu bersusah payah, inikan pula syurga yang kekal selama-lamanya.

Nabi-nabi sendiri diuji. Nabi Ibrahim dilempar ke dalam api dan diperintah menyembelih anaknya sendiri, Ismail. Nabi Yusuf dicampak ke dalam perigi sebelum dipenjara selama tujuh tahun. Nabi Zakaria mati digergaji manakala Nabi Yahya disembelih. Nabi Ayub menderita penyakit, Nabi Musa dikejar Firaun sehingga ke Laut Merah.

Dalam isu berhijab, ujiannya tidaklah sedahsyat cabaran yang dilalui para nabi dan srikandi Islam terdahulu. Ujian terbesarnya mungkin hawa nafsu dan sikap memandang remeh hal-hal agama.

Ujian itu selari dengan maksud firman Allah: “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syur­ga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang berlaku kepada orang yang terdahulu daripada kamu?” (Surah al-Baqarah, ayat 214).

Bagi yang telah bertudung, jangan pula memandang rendah wanita lain yang belum berhijab kerana kita tidak tahu apakah pengakhiran hidup masing-masing.

Selalunya wanita Islam yang belum berhijab walau sesekular mana pun pemikiran, hati mereka tetap memasang niat untuk bertudung suatu hari nanti.

Sekali lagi, berhijab adalah satu penghormatan untuk wanita Islam. Ia harus dilakukan dengan sesuci hati demi meraih janji kemuliaan abadi di syurga Ilahi.