Saya sempat menyelami kata-kata hikmah ini semasa bertemu seorang mutawif bagi rombongan jemaah umrah TH Travel & Services di Arab Saudi baru-baru ini.

Mutawif atau pembimbing jemaah umrah itu ialah Ustaz Abdullah Mansor. Beliau lahir dan tinggal di di kota Mekah sejak 38 tahun lalu. Bapanya, Mansor Ridwan adalah antara pengasas sekolah pondok Nahdatul Watan di Surabaya, Indonesia.

Abdullah belajar selama enam tahun di universiti dan sekolah pondok di Yemen. Tidak seperti kebanyakan penduduk Arab Saudi yang gemar memakai serban merah putih, Abdullah sebaliknya lebih menyukai warna tanah dan memakai serban gaya orang Yemen. Orangnya sangat sederhana tetapi pemurah.

Ketika di Madinah, beliau belanja makan kepala kambing kepada kira-kira 20 jemaah lelaki. Kepala kambing itu dipanggang di dapur seakan-akan ketuhar di dalam tanah. Beliau memesan 10 kepala kambing berharga kira-kira 30 riyal (RM33) setiap satu.

“Saya mahu mendapat pahala kerana tenaga daripada makanan ini tuan-tuan akan gunakan untuk beribadah,” katanya yang sangat meyakini perbuatan baik akan dibalas dengan kebaikan semasa di dunia ini lagi.

Tutur katanya lembut sekali dan apabila berdoa, kedengaran merayu-rayu seperti mahu cepat dikabulkan Tuhan.

Beliau memberitahu, berdoa boleh dilakukan di mana sahaja, yang penting ia mestilah daripada hati yang paling dalam. Kalau ingin dosa diampuni, berdoalah bersungguh-sungguh sambil menangis mengingati dosa-dosa yang pernah dilakukan termasuk ketika remaja dahulu.

Beliau juga berkongsi doa untuk mendapatkan jodoh, dibaca selepas solat lima waktu. Cerita Abdullah, beliau mengamalkan doa itu selama dua tahun dan hasilnya beliau dikurniakan isteri yang menurutnya tidak layak untuk dimilikinya.

Ini kerana beliau bukanlah siapa-siapa berbanding isterinya, Aishah, 28, yang merupakan anak ulama tersohor Arab Saudi, Sheikh Abdullah al-Lahji.

Allahyarham Al-Lahji merupakan guru kepada banyak ulama terkenal Arab Saudi sekarang seperti Sayid Muhammad Alawi al-Maliki dan Syeikh Ismail Zain al-Makki. Beberapa imam di Masjidilharam juga pernah berguru dengan al-Lahji.

Khabarnya Abdullah juga sering membawa orang ke­namaan (VIP) dari Malaysia untuk menunaikan haji dan umrah.

Antara golongan VIP dari Malaysia yang dibimbingnya termasuklah kerabat diraja, artis popular dan usahawan kaya-raya. Ada kisah lucu tetapi penuh pengajaran yang di­ceritakan Abdullah membabitkan jemaah Malaysia tersebut.

Namun, saya lebih mengagumi kerendahan hati dan ketinggian pekerti lelaki ini. Mungkin ada ramai mutawif yang lebih hebat daripada Abdullah.

Begitupun, bertemu dengan orang berilmu dan berakhlak baik seperti Abdullah terasa sudah cukup menyenangkan. Apatah lagi jika dapat berjumpa orang-orang hebat yang lain, detik hati saya.

Benarlah pengalaman adalah guru terbaik. Belajar daripada pengalaman orang lain relatifnya lebih murah dan lebih singkat waktunya. Jadi, belajarlah daripada manusia mulia dan berjaya di sekeliling kita sama ada dengan berjumpa sendiri mahupun menerusi pembacaan.

Malah, dalam setiap peristiwa, baik atau buruk, ada pelajaran yang boleh diambil. Ini termasuk pengalaman buruk yang dilalui orang lain.

Daripada kisah pekerja restoran ditampar pelanggan merokok sehinggalah peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong, ada sesuatu yang harus dipelajari.

Malangnya, ketika kejadian buruk menimpa orang lain, manusia cenderung mencari kambing hitam untuk dipersalahkan, menjadi jaguh de­ngan memberitahu perkara yang sepatutnya dibuat, bahkan mencaci orang yang me­lakukannya.

Sekali lagi, pengalaman adalah guru terbaik. Cukuplah ia menjadi pengajaran untuk bermuhasabah diri sambil terus mengingatkan orang lain.