Mereka yang suka berbohong amat benci kepada mereka yang mendedahkan kebenaran. Selagi boleh, mereka akan berusaha menutup pekung dengan mengalihkan perhatian sehingga orang boleh lupa kepada pembongkaran mengenai penipuan yang dilakukannya.

Di mahkamah, hanya bukti yang kukuh dapat mensabitkan kesalahan bagi tertuduh yang berbohong mengenai tuduhan yang dikenakan ke atasnya. Adakalanya, pada awal pertuduhan kita sangka si tertuduh akan ‘sangkut’, tetapi segalanya berubah sekiranya kes pada akhir pendakwaan gagal mengemukakan bukti kukuh.

Amatlah malang bagi mereka yang benar-benar bercakap benar dinafikan haknya pada saat tuah pula berpihak kepada si penipu yang pada lazimnya mendapat sokongan daripada mereka yang menyokongnya.

Ada ketika, amat mudah sekali kepada mereka yang lidah bercabang menyalahkan pihak lain walhal perkara yang dikatakan itu datang daripada dirinya sendiri. Dalam hal ini, ada pihak terutamanya media mudah sekali dikambinghitamkan untuk menyelamatkan diri sendiri.

Dari segi agama, Islam menyuruh penganutnya supaya sentiasa berkata benar selari dengan apa yang terkandung dalam al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW. Oleh sebab Islam menghalang perkara batil (pembohongan), ia amat dibenci dan dimusuhi oleh kaum kafir dari dahulu sehingga kini.

Bagi saya, pekerjaan dalam bidang media mengajar saya bercakap dan melaporkan kebenaran. Satu pembohong­an atau mereka cerita hanya akan mengundang padah kerana kami terdedah kepada risiko disaman dan ketidakpercayaan pembaca kepada akhbar ini.

Oleh sebab salah satu daripada 19 karakter Kosmo! yang dipegang selama 14 tahun ini ialah penegak kebenaran, maka kami masih mampu bertahan dan mempunyai pembaca setia yang suka de­ngan laporan yang diterbitkan setiap hari tanpa gagal ­ke­cu­a­li pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri kerana akhbar ini tidak diterbitkan pada hari berkenaan.

Susunan karakter yang dipahat kemas pada salah satu tiang di dalam pejabat ini sengaja dipasang berdekatan pintu masuk utama supaya setiap warga Kosmo! dapat melihat dan membacanya setiap hari bagi mengingatkan mereka mengenai tujuan asal akhbar ini diterbitkan.

Apabila berbicara me­ngenai bercakap benar, saya sebenarnya suka apa yang dilakukan oleh pegawai pe­nyiasat. Mereka sentiasa mencari kebenaran dalam setiap kes yang diberikan kepada mereka.

Menemui kebenaran di sebalik apa yang terjadi merupakan kepuasan yang tidak ada taranya kerana pada masa sama pegawai penyiasat itu boleh menyelamatkan seseorang atau membuatkan ahli keluarga mangsa gembira dan berterima kasih kepada­nya.

Saya masih ingat ketika ditempatkan di Meja Jenayah terdapat satu kes di mana saya menerima sepucuk surat ugutan daripada pelajar seorang profesor di sebuah universiti terkemuka di negara ini.

Mereka mengugut akan mengapa-apakan saya sekiranya tidak membuat penafian terhadap laporan yang diterbitkan mengenai pensyarah mereka yang ketika itu dicekup kerana mempunyai skandal dengan isteri orang.

Saya tidak layan ugutan itu kerana ia merupakan kebenaran yang berlaku kerana ada laporan polis mengenai­nya. Seorang pegawai penyi­asat yang mengambil kes itu (selepas saya membuat laporan) amat tertarik dengan kes itu dan memberi jaminan akan menjalankan siasatan.

Namun selepas 11 tahun, tiada siapa pun dari balai polis berkenaan menghubungi saya untuk memberitahu perkembangan kes tersebut. Mungkin kerana tidak me­nemui bukti pada surat itu atau tidak ada apa yang terjadi kepada saya.

Akhir kalam, ingatlah pesanan Saidina Umar al-Khattab kepada kita: “Berkata benarlah kalian walaupun akan kehilangan kawan.”