Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku semasa kejadian berlaku sebab sesi persekolahan masih belum bermula.

Menurut seorang guru, Rosdi Mohamed, 51, dia terhidu bau asap ketika menuju ke masjid untuk menunaikan solat subuh kira-kira pukul 5.55 pagi sebelum segera memasuki kawasan kolej berkenaan untuk memeriksa bau asap berkenaan.

Katanya, ketika itu, dia melihat api di tingkat atas bangunan berkenaan yang turut menempatkan bengkel kosmetologi, seni reka fesyen dan pengajian awal kanak-kanak.

"Saya bersama pegawal keselamatan cuba memadam kebakaran itu menggunakan pemadam api tetapi tidak berjaya kerana api semakin marak sebelum membuat panggilan kecemasan kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Tanah Merah.

"Kebakaran membabitkan bangunan berusia hampir 29 tahun itu berlaku ketika subuh. Semasa memadamkan kebakaran itu saya masih mendengar azan dari masjid yang terletak berdekatan kolej," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini. 

Rosdi berkata, mengikut jadual asal bengkel itu digunakan bagi menjalani peperiksaan diploma kemahiran tahap empat yang dijangka berakhir hari ini.

Difahamkan, kebakaran itu mengakibatkan kerugian kira-kira RM500,000 dan turut memusnahkan sebahagian besar peralatan pengajian dan pembelajaran serta dokumen penting lain.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Hanaffi Mohd. berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan kejadian kira-kira pukul 6.10 pagi

"Dua jentera dari Tanah Merah dengan bantuan sebuah jentera dari Machang dikejarkan segera ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan berkenaan," katanya. - K! ONLINE