Kebakaran yang berlaku pada pukul 9.55 malam itu turut memusnahkan sebuah lori tiga tan, kereta dan van milik syarikat bengkel kejuruteraan elektrik terbabit.

Salah seorang pekerja bengkel berkenaan, Rahmat Sulong, 22, berkata, kebakaran itu dipercayai berpunca daripada salah sebuah kabin yang menjadi penginapan sebahagian daripada empat pekerja.

"Sewaktu kejadian, bekalan elektrik terputus dan saya bersama seorang rakan sedang membaiki sebuah kotak suis elektrik di bengkel berkenaan.

"Berdasarkan pemeriksaan tiada arus elektrik diterima di dalam kabin yang saya tinggal namun tidak lama kemudian kami mendapati sebuah lagi kabin berhampiran telah terbakar," katanya ketika ditemui Kosmo! Online di sini hari ini.

Rahmat berkata, dia dan tiga rakan sekerjanya cuba memadamkan kebakaran itu tetapi gagal kerana api semakin marak sebelum bertindak menghubungi pihak berkuasa. - K! ONLINE