Jika dilihat perkembangan di rantau berkenaan, puak Syiah semakin mendapat kejayaan baik di Iraq, Syria, Yemen ataupun Lebanon. Iraq pada tahun 1980-an dahulu diperintah oleh pemimpin berfahaman Sunah, Saddam Hussein walaupun majoriti iaitu lebih 80 peratus rakyatnya mengamalkan ajaran Syiah.

Namun, kejatuhan Saddam dan tindakan Amerika Syarikat (AS) menceroboh Iraq pada awal tahun 2000 telah mengubah status quo tersebut.

Selepas AS membawa pulang bala tenteranya, Iraq kini diperintah oleh kepimpinan Syiah yang sudah pastinya menjalin hubungan baik dengan Teheran. Pengaruh Syiah sudah melangkaui sempadan sebelum ini.

Di Syria pula yang majoritinya mengikuti ajaran Sunah tetapi dipimpin oleh puak Syiah diketuai dinasti Al-Assad, nasib puak Sunah turut merudum.

Perang saudara di Syria susulan kebangkitan Arab Spring yang sepatutnya menumbangkan rejim Presiden Bashar Al-Assad bertukar menjadi mimpi ngeri kepada pakatan kumpulan penentang dikenali sebagai Tentera Demokratik Syria (SDF).

Pakatan penentang yang suatu ketika dahulu berada beberapa kilometer dari ibu kota Syria, Damsyik telah diusir dan hampir kalah sepenuhnya selepas campur tangan militia Lebanon, Hezbollah dan kuasa besar Rusia.

Bashar kini semakin hampir untuk menguasai seluruh negara itu dan menghapuskan musuhnya terdiri daripada SDF dan kumpulan pemberontak Al-Qaeda serta Daesh. Di Yemen, kerajaan pimpinan Presiden pro-Arab Saudi, AbdulRabbu Mansour Hadi tumbang angkara puak Syiah Houthi. Ibu kota Yemen, Sanaa dikuasai Syiah.

Perkembangan tersebut menyaksikan negara-negara Teluk pimpinan Arab Saudi semakin tersepit. Situasi itu disedari oleh pemimpin baharu Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed Salman. Beliau dikatakan mengambil pendekatan keras dan agak drastik bagi mengekang pengaruh Syiah di dunia Arab.

Terdapat desas-desus bahawa tindakan Perdana Menteri Lebanon, Saad Al-Hariri meletakkan jawatan adalah disebabkan oleh Riyadh tidak berpuas hati dengan kegagalannya membendung kumpulan Hezbollah di Lebanon.

Saad pastinya tidak ingin perang saudara yang pernah berlaku dua kali di Lebanon pada tahun 1970-an dan 1980-an dahulu berulang.

Tindakan untuk menumbangkan Hezbollah tidak akan dapat dilakukan tanpa menggunakan tentera. Israel sendiri mengakui militia itu memiliki keupayaan tentera dan senjata canggih.

“Kami memiliki semua jenis senjata, apa sahaja yang terlintas di fikiran kamu, kami ada memilikinya,” kata pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah dalam satu wawancara bersama stesen te­levisyen Lebanon, Al Mayadeen pada tahun 2015.

Ternyata, militia itu jauh lebih kuat daripada tentera Lebanon sendiri. Setakat 2016, militia itu memiliki hampir 50,000 pejuang. Hezbollah juga dikatakan mempunyai kira-kira 150,000 peluru berpandu pelbagai jenis, jumlah yang jauh lebih besar daripada banyak negara di dunia.

Pastinya, usaha untuk melucutkan dan menumbangkan militia Syiah itu tanpa mencetuskan pertumpahan darah sudah tentunya perkara hampir mustahil.

Lagipun, perang saudara yang berlaku di Iraq, Syria dan Yemen adalah sangat merugikan tidak kira siapa pun pemenangnya.

Di Syria setakat tahun lalu, hampir 475,000 orang terbunuh dalam perang yang menyaksikan bandar-bandar di negara itu musnah, bangunan-bangunannya pula tinggal kerangka dan infrastruktur lain punah.

Syria dilaporkan memerlukan wang AS$1 trilion (RM4.19 trilion) untuk membina semula negara itu. Perang saudara itu menjadikan Bashar ibarat pemimpin yang hanya mempunyai tanah air tanpa rakyat.

Di Yemen, perang saudara dan serangan udara oleh pakatan tentera Arab Saudi meragut ribuan nyawa. Perang juga menyebabkan Yemen dilanda wabak taun paling buruk dalam sejarah dunia. Kira-kira sejuta penduduknya dijangkiti taun termasuk sekurang-kurangnya 600,000 kanak-kanak.

Penulis berpendapat sudah tiba masanya pemimpin Sunah dan Syiah duduk semeja dan membincangkan perdamaian seperti yang dilakukan oleh pemimpin Palestin.

Walaupun agak mustahil, itulah sahaja caranya untuk mengelakkan konfrontasi itu daripada merebak kepada umat Islam di luar dunia Arab.