Dengan tema Pembasmian Kemiskinan, peserta yang terdiri daripada belia dari Malaysia, Thailand, Vietnam, Filipina, Brunei, Indonesia, Myanmar, Kemboja, Singapura dan Laos akan berkonvoi sejauh 90 kilometer dan berkampung di Pos Gob sehingga 20 Ogos ini.

Pengarah program berkenaan, Prof. Datuk Dr. Rokiah Omar berkata, program berkenaan adalah program yang ketujuh sejak dimulakan  pada tahun 2013.

Katanya, program itu disertai oleh belia dan pelajar berumur antara 18 hingga 30 tahun untuk menabur khidmat kepada kaum Orang Asli. 

“Program itu lebih kepada pendidikan kanak-kanak Orang Asli selain memberi fokus kepada alam sekitar dan kemudahan asas.

“Kita berharap peserta akan memperoleh pengetahuan, kemahiran yang berguna sepanjang program ini dan melaksanakan projek atau program kepada komuniti selepas kembali ke negara masing-masing,” katanya ketika ditemui di perkarangan Sekolah Menengah Sains Gua Musang, di sini hari ini. 

Pelancaran konvoi itu dilakukan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Datuk Dr. Imran Ho Abdullah.
    
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid dan Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan, Sik Choon Foo.
    
Rokiah yang juga Pengarah Pusat Tranformasi Komuniti UKM berkata, program seumpama itu juga pernah diadakan tahun sebelum ini di Langkawi, Kedah dan Bandung, Indonesia.
    
Katanya, tahun ini Malaysia menjadi tuan rumah dan buat pertama kali memilih kampung Orang Asli di Pos Gob sebagai lokasi program.

“Kita juga berterima kasih kepada 200 kakitangan sokongan yang menjayakan program ini termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jakoa, Jabatan Kesihatan dan banyak lagi agensi,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta wanita dari Brunei, Nur Diyana Nasriah Suhaili, 27, teruja apabila diterima mewakili negaranya ke program berkenaan.
   
Katanya, dia tidak sabar mahu melaksanakan aktiviti kemasyarakatan yang dirancang bersama penduduk Orang Asli.

Seorang lagi peserta dari Indonesia, Grace Gunawan, 24, berkata, beliau menyertai program berkenaan buat kali pertama dan bersedia membawa balik segala pengalaman sepanjang berada di kampung Orang Asli itu.

Katanya, seramai tujuh peserta dari negara Indonesia menyertai program edisi kali ini. - K! ONLINE