Dalam kejadian kira-kira pukul 3.10 pagi itu, mendiang, Jason Gerald John, 43, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. 

Difahamkan, kemalangan berlaku ketika pasangan suami itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Ozana di sini selepas mendiang yang menghidap penyakit diabetes menerima rawatan di Puchong, Selangor.

Ketua Polis Daerah Superintendan, A.Asmadi Aziz berkata, berdasarkan siasatan awal, kereta jenis Proton Persona yang dipandu isteri mangsa, S. Kirsa, 37, dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan dan merempuh sebatang pokok. 

"Akibat kemalangan itu mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ditempat kejadian.

"Isteri mangsa turut mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkam rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Mendiang Jason mula menyertai syarikat New Straits Times Press (NSTP) sejak tahun 1996 dan berkhidmat sebagai wakil akhbar berbahasa Inggeris itu di Melaka pada tahun 2007 hingga 2017.

Beliau menghidap diabetes sejak 10 tahun lalu dan terpaksa menjalani pembedahan memotong kaki kirinya pada Ogos tahun lalu.

A. Asmadi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE