Pertuduhan terhadap tertuduh, Mahat Jalil, 56, dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Teoh Shu Yee.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, namun lelaki itu sempat meluahkan kata-kata "Saya sayang isteri saya".

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian isterinya Samnah Mohamed, 55, pada pukul 10.22 pagi di sebuah rumah di Taman Seri Duyong Fasa Dua pada 3 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Najwa Nazari memohon tarikh untuk laporan forensik dan tertuduh dirujuk ke hospital psikiatrik memandangkan lelaki tersebut mempunyai rekod perubatan membabitkan masalah mental.

Shu Yee kemudian menetapkan tarikh 14 Ogos untuk serahan laporan forensik dan sebutan semula kes. Beliau turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Hospital Permai, Johor Bahru untuk pemeriksaan kesihatan mental mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

Pada 3 Julai lalu Kosmo! Online melaporkan seorang suri rumah maut ditikam dengan pisau pemotong sayur oleh suaminya selepas mereka dipercayai bertengkar di kediaman pasangan itu di Taman Seri Duyong Fasa Dua.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.22 pagi itu, mangsa ditemui mati dalam keadaan terlentang berlumuran darah bersebelahan suspek yang turut cedera selepas cuba menikam diri sendiri di kawasan garaj rumah mereka.

Semakan polis sebelum ini mendapati  bekas tentera itu pernah mendapatkan rawatan psikatrik dan ditahan pada Jun lalu atas kesalahan jenayah curi serta dadah. - K! ONLINE