Haris, 57, yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial daripada Universiti Malaya (UM) menggalas tugas berkenaan bagi menggantikan Datuk Ahmad Zaharin Mohd. Saad yang kini menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan.

Selain menggalas jawatan Pengarah JAIS bermula tahun 2015, Haris juga pernah bertugas sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor bermula dari tahun 2005 hingga 2011 dan Pegawai Daerah Pejabat Daerah Hulu Langat dan Sepang antara 2011 hingga 2014.

Menurut Haris, sebagai penguasa tempatan beliau komited untuk melaksanakan lima teras perkhidmatan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

"Pertama adalah pemantapan perkhidmatan perbandaran dan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam termasuk memperkasakan kerja-kerja kutipan sisa pepejal, pembersihan longkang, pemotongan rumput serta kutipan sampah pukal.

"Kedua, mendekati masyarakat dengan program turun padang supaya masalah yang dihadapi terutamanya pembayar cukai dapat didengar dan diatasi dengan cara bersemuka,"katanya pada Majlis Angkat Sumpah Datuk Bandar Shah Alam di Wisma MBSA di sini hari ini.
 
Turut hadir, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd. Rashidi Ruslan.

Selain itu, Haris berkata, beliau juga akan mempelbagaikan perkhidmatan dalam talian melalui pembudayaan teknologi supaya memudahkan masyarakat berurusan dengan pihak MBSA.

Tambah beliau, pihaknya juga akan memberi penumpuan terhadap pengukuhan kewangan melalui peningkatan hasil melalui kutipan tunggakan serta mencari sumber hasil baru.

"Pada masa sama, kita juga akan memperkasakan sumber manusia melalui latihan dan kursus bagi memastikan kakitangan MBSA dapat memantapkan pengetahuan dan kemahiran,"ujarnya. -K! ONLINE