Ketua Cawangan KPDNKK Miri, Joe Azmi Jamil berkata, hasil pemeriksaan di pasar basah di Krokop pada pagi ini tiada rungutan daripada penjual mengenai masalah stok bekalan keperluan harian untuk pengguna di sini bagi sambutan Gawai yang disambut 1 dan 2 Jun manakala Aidilfitri disambut pada 15 Jun.

"Bekalan barangan keperluan seperti ayam, sayuran dan minyak masak mencukupi untuk dua perayaan besar di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Pasar Krokop pagi ini.

Dalam perkembangan lain, Joe berkata, peniaga tidak boleh memberi alasan harga tidak dapat diturun selepas 1 Jun 2018 kerana stok barangan yang dibeli adalah termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) masih berkuatkuasa dan keadaan ini akan merugikan peniaga. 

"Kerajaan telah menetapkan GST sifar mulai 1 Jun, semua peniaga mesti menurunkan harga barangan atau berdepan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 14  Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya sambil menambah pemantauan akan dilakukan oleh KPDNKK Miri. - Bernama