Justeru, Timbalan Menterinya Sim Tze Zin berkata pembeli tidak perlu bimbang dan berbelanja secara berhemah serta membeli barangan keperluan yang diperlukan sahaja.

"Pihak kementerian dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan membuat pemantauan bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya," kata beliau.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Jualan Jimat Belanja Aidiladha Ambang Merdeka @ Pasar Tani peringkat kebangsaan di pasar tani Putrajaya di Presint 2, di sini hari ini.

Bagi memastikan pengguna mempunyai pilihan mendapatkan barang keperluan pada harga lebih murah, 733 pasar tani di seluruh negara akan mengadakan jualan jimat belanja itu yang menawarkan harga sehingga 20 peratus lebih murah berbanding pasar awam lain, katanya.

Sim berkata antara barang keperluan yang ditawarkan dalam program berkenaan ialah daging, ayam, sayur-sayuran, barangan runcit, produk Industri Asas Tani (IAT) serta produk keperluan untuk hari raya seperti daun palas dan buluh lemang.

"Keperluan di pasar tani bagi ayam dan daging masing-masing sebanyak 300 dan 150 tan metrik sepanjang tempoh seminggu sebelum Hari Raya Aidiladha," katanya.

Mengenai sambutan Hari Kebangsaan, beliau berkata semua pasar tani di seluruh negara akan mengadakan kempen kibar Jalur Gemilang mulai hari ini sehingga Hari Malaysia pada 16 September depan. - Bernama