Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd. Nawi berkata, kekurangan bekalan akibat nelayan-nelayan Pantai Timur tidak turun ke laut pada masa ini bakal ditampung oleh 40,000 tan ikan yang telah disejuk beku sejak bulan Mac lalu.

Beliau berkata, persatuan nelayan negeri dan kawasan di seluruh negara telah menyimpan sebahagian stok ikan spesis pelagik seperti selayang, pelaling dan kembung secara sejuk beku sewaktu musim pengeluaran banyak pada bulan Mac dan April lalu.

"Stok ikan sejuk beku tersebut akan dikeluarkan untuk jualan bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan sepanjang musim tengkujuh ini. 

"Selain itu, kita akan mengagihkan ikan-ikan spesies pelagik ditangkap nelayan Pantai Barat yang kurang terjejas akibat musim tengkujuh bagi memenuhi permintaan di negeri-negeri Pantai Timur iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kursus Latihan Antabangsa Penilaian Bekalan dan Dinamik Populasi Negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Pusat Pembangunan Perikanan Asia Tenggara (SEAFDEC) di Chendering di sini hari ini. - K! ONLINE