Pengurus Besar TNB Johor Datuk Baderul Sham Saad berkata, gangguan akibat kerosakan Pencawang Masuk Utama (PMU) 132/33kV di Jalan Datuk Abdul Rahman Andak bermula 1.04 petang itu pulih sepenuhnya 7.40 malam.

"Kawasan terakhir yang menerima semula bekalan elektrik adalah sebahagian kawasan Bandar Baru Uda dan Skudai Kiri," katanya yang dihubungi di sini malam ini.

Katanya kesulitan atas gangguan bekalan elektrik tersebut amat dikesali dan untuk mendapatkan maklumat lanjut, pengguna dinasihati menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan TNB di talian 15454 atau Facebook TNB CareLine.

Terdahulu, gangguan elektrik itu sedikit sebanyak menjejaskan orang ramai dalam meneruskan aktiviti harian termasuk kesesakan teruk di lampu isyarat di Jalan Tebrau yang menghubungkan kawasan Taman Pelangi dan Taman Century dengan pusat bandar.

Gangguan ke atas kira-kira 10,000 akaun pengguna itu antaranya adalah melibatkan bangunan Komtar, Bangunan Sultan Iskandar yang menempatkan kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Balai Polis Sentral, Bangunan JB Sentral, Hospital Sultanah Aminah, Taman Century dan Jalan Yahya Awal.

Bagaimanapun Hospital Sultanah Aminah, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin serta kebanyakan bangunan komersial dan yang lain terus beroperasi menggunakan janakuasa sokongan. - Bernama