Kejadian yang berlaku di perkarangan sebuah kedai runcit di kawasan deretan premis perniagaan di taman perumahan terbabit pada pukul 2.39 petang itu berjaya dirakam televisyen litar tertutup (CCTV).

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, sewaktu kejadian, wanita warga asing berusia 38 tahun tersebut singgah sebentar di premis perniagaan berhampiran kedai runcit terbabit tanpa menguncikan kereta Perodua Myvi berwarna birunya.

“Tidak lama kemudian datang sebuah kereta Perodua Myvi lain berwarna merah hati dipercayai dinaiki dua lelaki berusia 20-an yang memberhentikan kenderaannya di sebelah kereta milik mangsa.

“Salah seorang suspek yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan kemudiannya keluar sebelum memerhatikan sekeliling sebelum sebelum membuka pintu kereta milik mangsa lalu melarikan beg tangan yang diletakkan di tempat duduk pemandu,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Haki berkata, mangsa yang perasan beg tangannya dicuri penjenayah tersebut cuba mengejar kereta dinaiki kedua-dua suspek tetapi gagal kerana kenderaan itu telah memecut laju. - K! ONLINE