Ketua Pesuruhjaya APM Mejar Jeneral (B) Datuk Azmy Yahya berkata anggota pasukan itu akan bertugas mengikut jadual berkala pada cuti hujung minggu, cuti sekolah dan cuti umum untuk memastikan tiada lagi kejadian lemas berlaku di kawasan pantai itu.

"Kekerapan kes lemas yang berlaku sejak akhir-akhir ini agak membimbangkan sehingga mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu perkara itu diberi tumpuan. 

"Peranan pasukan penyelamat pantai ini ialah memantau keselamatan pengunjung dan memberi bantuan kecemasan awal sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini di pantai tersebut," katanya. 

Beliau ditemui selepas majlis perjumpaan anggota APM Terengganu bersama Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah APM Terengganu Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman.

Ketika ini, terdapat 41 pasukan baywatch di 14 negeri iaitu Kedah (empat pasukan), Pulau Pinang (lima), Perak (dua), Selangor (dua), Negeri Sembilan (tiga), Melaka (tiga), Johor (dua), Pahang (lapan), Terengganu (tiga), Kelantan (empat), Sabah (tiga) dan Sarawak (dua).

Selain itu, Azmy turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Terengganu  atas pengumumannya mengenai bantuan dana raya kepada semua anggota pasukan keselamatan tanpa mengira pangkat termasuk APM di Terengganu, bermula tahun ini.

"Dana raya sebanyak RM400 bagi anggota berkeluarga dan RM200 bagi anggota yang belum berkahwin itu dapat membantu meringankan beban semua anggota APM terlibat. 

"Bantuan ini pastinya melonjakkan lagi motivasi anggota APM Terengganu untuk terus berkhidmat dengan lebih baik, terutama pada saat-saat getir berdepan bencana," katanya. - Bernama