Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, kesemua mangsa dalam perjalanan dari Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur ke Hospital Melaka.

Bayi lelaki berkenaan kini dirawat di Zon Merah Hospital Melaka manakala dua yang lain dirawat di Zon Kuning dan seorang Zon Hijau hospital yang sama.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan berlaku apabila ambulans tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pokok di pembahagi kanan jalan.

"Ambulans itu gagal dikawal lalu terbabas ke atas pembahagi jalan dan melanggar pokok di kawasan itu.

"Akibat kemalangan itu, pesakit yang dibawa iaitu seorang bayi berusia sebulan terpaksa dikejarkan ke zon merah manakala doktor dan jururawat yang mengiringi dimasukkan ke zon kuning serta pemandu ambulans dimasukkan ke zon hijau,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE