Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamariul Azran Wan Yusof berkata, bayi tersebut yang diletakkan di atas meja makan itu ditemui seorang jemaah masjid yang berusia 80 tahun kira-kira pada pukul 8 malam selepas selesai mengerjakan solat Maghrib di Masjid Jamek Tanjung Malim.

"Polis menerima maklumat mengenai penemuan bayi tersebut pada pukul 8.09 malam sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian. 

"Lelaki tersebut pada awalnya singgah di kedai makan anaknya itu untuk makan malam sebelum melihat seorang bayi lelaki masih hidup dan dibalut tuala di atas meja makan lalu dia meminta menantunya menghubungi pihak polis," katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi. 

Tambah Wan Kamarul Azran, tiada sebarang nota ditinggalkan bersama bayi yang dibalut tuala berwarna kelabu dan oren itu. 

"Bayi tersebut kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjung Malim sebelum dipindahkan ke Hospital Slim River. 

"Pemeriksaan terhadap bayi seberat 2.34 kilogram tersebut mendapati dia dalam keadaan sihat dan kini masih dipantau pihak hospital," katanya. 

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran. - K! ONLINE