Bayi terbabit yang masih bertali pusat ditemui penduduk kira-kira pukul 7.30 pagi sebelum membuat laporan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, sekumpulan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dikejarkan ke lokasi tersebut bersama jururawat dari Klinik Kesihatan Pendang untuk melakukan pemeriksaan ke atas bayi berkenaan.

"Bayi yang ditemui dalam keadaan sempurna sifat ditemui dengan beberapa kesan tompakan darah dan masih bertali pusat," katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Beliau memberitahu, selepas pemeriksaan awal, bayi tersebut kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dekat sini untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, katanya, polis masih belum melakukan tangkapan terhadap ibu bayi terbabit serta mereka yang bertanggungjawab membuang bayi itu.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil di mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan," katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang bayi secara rahsia. - K! ONLINE