Menurut ibu tersebut, Siti Nur Jannah Humaira Ahmad Zainuddin mengidap jantung berlubang, paru-paru kronik, saiz tulang rusuk dan spinal tidak sekata, tiada tulang paha kanan, tulang paha kiri terlalu pendek, kaki bengkok, jari tangan tidak normal serta sumbing lelangit.

"Selepas dilahirkan, dia (anak) ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) selama empat bulan disebabkan banyak masalah kesihatan. Kemudian dipindahkan ke wad biasa selama dua bulan.

"Lebih menyedihkan, anak ketiga saya itu terpaksa bergantung kepada alat bantuan oksigen dan minum susu khas yang disalurkan melalui tiub," kata Siti Nur Jannah semasa ditemui pemberita di Perumahan Banjir Kuala Teh di sini semalam.

Selain Siti Nur Zurain, anak sulungnya, Ahmad Adi Putra, 9, mengalami masalah jantung berlubang dan pernah menjalani dua pembedahan di ketika berusia tiga bulan dan tiga tahun.

"Sehingga hari ini, Ahmad Adi masih menjalani rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN). Saya pula tidak bekerja kerana perlu menjaga anak bongsu," katanya.

Dugaan dihadapi Siti Nur Jannah juga tidak hanya mengenai kesihatan anak-anaknya, malah suaminya, Ahmad Zainuddin Abdul Rahman, 44, disahkan mengalami masalah saraf tulang belakang sejak tahun lalu.

Akibat masalah saraf, Ahmad Zainuddin tidak mampu melakukan kerja-kerja berat kerana boleh menjejaskan tahap kesihatannya secara mendadak.

"Kami memerlukan banyak perbelanjaan untuk membeli susu khas Siti Jannah yang berharga RM80 setin dan kos rawatan lanjut di HoSHAS dan IJN selain belanja persekolahan dua anak," jelasnya.
 
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd. Zakhwan Ahmad Badarddin berkata, beliau akan berusaha membantu keluarga berkenaan agar mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik.

"Saya sangat bersimpati dengan nasib mereka dan kita akan ikhtiar untuk mendapatkan peruntukan bagi menampung perbelanjaan keluarga ini," kata beliau selepas menyampaikan sumbangan kepada Siti Nur Zurain Fatima.

Orang ramai yang sudi membantu keluarga tersebut boleh berbuat demikian dengan menghulur sumbangan menerusi akaun Bank Islam Malaysia Berhad bernombor  06-0550-2034-4689 atas nama Siti Nur Zurain Fatima. - K! ONLINE