Bapa bayi berkenaan, Mohd. Feisal Norawi, 36, berkata, anak bongsunya yang dilahirkan hanya seberat 1.3 kilogram itu kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

Wartawan akhbar Sinar Harian itu menambah, masalah dihidapi Fahim Aqeed juga dirujuk ke Institut Jantung Negara dan perlu menjalani pembedahan kedua yang menelan kos antara RM30,000 hingga RM40,000.

"Dia sudah menjalani pembedahan pertama dengan kos RM20,000 pada 29 November lalu. Saya dan isteri, Musazlila Mustapar, 36, sudah tidak mampu menanggung kos pembedahan kedua pada Mac depan.

"Kami sekeluarga amat berharap Fahim dapat menjalani hidup dengan sempurna," katanya yang turut menanggung perbelanjaan membesarkan tiga lagi anak, Felisa Amani, 8, Faariz Aisy, 6, dan Fadhlan Asyraff, 4.

Sementara itu, Persatuan Kebajikan Ukhwah dan Silaturahim (Ukhwah) Pahang serta 19 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melancarkan program cuci kereta dan tabung amal bagi meringankan beban keluarga tersebut.

Terlibat sama menjayakan program itu ialah Persatuan Muay Thai Pahang, Persatuan Lingkaran Gerak Lian Malaysia serta Komuniti Pemulihan Dadah (DIC) Pahang.

Turut membantu menerusi program berkenaan ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan serta Pengurusan Air Pahang Berhad.

Presiden Ukhwah Pahang, Zulkifli Senik berkata, program cuci kereta amal tersebut akan diadakan di Reezqi Auto Spa di Jalan Gambut di sini bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang, 3 Februari ini.

"Orang ramai juga boleh terlibat sama menghulurkan bantuan dengan menghantar kereta untuk dicuci di Reezqi Auto Spa pada tarikh dan masa yang ditetapkan.

"Hasil kutipan daripada program cuci kereta itu akan diserahkan kepada keluarga tersebut bagi meringankan beban mereka serta menanggung kos pembedahan," ujar beliau. - K! ONLINE