Namun, secara logik, mereka yang disenaraikan dalam CCRIS merupakan individu yang tidak membayar hutang dalam tempoh tertentu. Sudah tentu jika tidak membayar hutang, baru mereka disenaraikan dalam CCRIS.

Malah hasil carian menerusi enjin Google juga me­nemui : “CCRIS bukanlah sistem yang menyenarai hitam peminjam seperti tanggapan sesetengah pihak, cuma ia merekodkan aktiviti peminjam sama ada membuat bayaran balik pinjaman dengan baik atau tidak.

“Ia juga menjadi sumber institusi kewangan untuk memeriksa sejarah kredit peminjam, menilai risiko sebelum meluluskan pinjaman baharu yang dikemukakan,”.

Jadi, jelas sekali apabila seseorang itu tersenarai dalam CCRIS, individu itu mempunyai risiko sekiranya dia membuat satu pinjaman baharu sedangkan pinjaman sebelum itu (dalam situasi ini pinjaman PTPTN) tidak dapat dijelaskan mengikut jadual bayaran yang baik.

Umum mengetahui, harga jualan sebuah rumah pada masa ini terutama di kawasan bandar tidak berapa mampu milik. Bagi mereka yang baru memasuki alam pekerjaan, sudah tentu purata gaji untuk seorang mahasiswa adalah antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan. Dengan purata gaji tersebut, mereka mendakwa masih belum mampu membayar ansuran pinjaman PTPTN antara RM140 hingga RM150 sebulan bagi pinjaman berjumlah kira-kira RM20,000.

Bagaimana pula pihak kementerian melihat individu itu mampu membayar ansuran rumah yang secara purata sekitar RM650 hingga RM700 sebulan untuk rumah berharga RM170,000?.

Penulis tidak mahu pengumuman menteri itu bertujuan mahu menarik minat golongan belia semata-mata. Sedangkan secara hakikatnya, mereka nanti yang perlu menanggung bahana jika tidak mampu melangsaikan hutang bulanan dan mengheret ke satu lagi masalah lain sehingga akhirnya termasuk dalam golongan bankrup.

Sebagai seorang peminjam PTPTN generasi awal ia diperkenalkan, isu pembayaran balik bukan masalah besar apabila jumlah yang ditetapkan oleh PTPTN adalah dalam kadar yang boleh dibawa berunding. Jangan terlalu memanjakan generasi masa ini dengan membuka peluang yang akhirnya menjerumuskan mereka dengan masalah kredit yang lebih besar.

Penulis masih ingat lagi, ketika mula memasuki dunia pekerjaan, hutang pinjaman serta bayaran ansuran kereta Perodua Kancil 660 merupakan komitmen bulanan pertama yang perlu dilangsaikan sebelum turut mengasingkan wang untuk mengisi petrol ke tempat kerja dan tugasan serta untuk makan. Pada waktu itu, memiliki rumah bukan satu pilihan utama memandangkan ada komitmen lain yang lebih penting untuk diuruskan.

Nasihat penulis buat para peminjam, selesaikan satu persatu komitmen yang ada kerana peluang untuk memiliki kediaman sendiri pasti ada pada satu masa yang sesuai untuk kita. Buat kementerian atau agensi berkaitan, kaji semula harga rumah di pasaran dan jangan ghairah membuka pintu bagi menggembirakan hati mereka yang tersenarai dalam CCRIS itu dengan pelbagai tawaran menarik.