Papan Majid, 45, kehilangan dua anaknya Fayah, 20, dan Safia, 18, dalam krisis kesihatan yang meragut 15 nyawa di Kampung Kuala Koh sejak awal Mei lalu.

Menurut Papan, dia terlalu sayangkan anak perempuan sulung, Fayah yang sudah meninggal dunia apabila sentiasa membawa baju kurung arwah masuk ke dalam hutan. 
     
Katanya, walaupun anak sudah lebih dua bulan meninggal dunia kerana jangkitan penyakit, tetapi hanya itulah cara untuk mengubat rindu terhadap arwah yang menjadi anak terbaik dalam keluarga. 
     
“Saya mempunyai dua anak perempuan sahaja, Fayah dan Safia, 18, tetapi kedua-duanya meninggal dunia selang beberapa hari kerana jangkitan penyakit sama.
     
“Arwah Fayah paling saya sayang kerana dia rajin membantu keluarga di rumah termasuk memasak dan mengemas," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Koh, di sini, semalam. 
     
Cerita Papan lagi, dia juga jarang berada di rumah dan banyak menghabiskan masa di hutan atau di rumah jiran selepas kematian dua anak perempuanya itu. 
     
Katanya, walaupun reda dengan kematian anak, namun hidupnya sejak kebelakangan ini tertekan hingga makan pun tidak berselera. 
     
“Saya peluk dan bawa ke mana sahaja baju anak supaya jiwa saya lebih tenang kerana tidak ada cara lain untuk melepas kerinduan itu

 “Di depan mata saya melihat penderitaan dan jaga mereka ketika sedang sakit sehinggalah meninggal dunia," katanya. - K! ONLINE