Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, kementerian masih belum berbincang mengenai status baucer itu yang telah diperkenalkan kerajaan terdahulu.

 "Kita (kementerian) belum buat apa-apa perbincangan mengenai perkara ini, ia semua akan bergantung kepada bajet dan sebarang pengumuman berhubung baucer tersebut akan dibuat oleh Menteri Pendidikan (Dr Mazlee Malik) sendiri," katanya kepada pemberita di sini selepas merasmikan Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM)  di UiTM di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Ir Dr Abdul Rahman Omar.

Teo berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai status baucer tersebut susulan hasrat kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mahu mengurangkan perbelanjaan negara termasuk mengurangkan bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) seperti diumumkan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Baucer buku yang diperkenalkan sejak 2012 itu diberikan kepada pelajar yang layak, di mana setiap pelajar menerima baucer bernilai RM200 sebelum bantuan itu dinaikkan kepada RM250 pada 2013.

Sementara itu, Teo dalam ucapannya pada majlis berkenaan menyeru semua pihak termasuk pemain industri pendidikan supaya menguasai bidang sains dan teknologi sebagai usaha menjayakan tranformasi pendidikan negara.

Katanya, langkah itu perlu supaya masyarakat Malaysia menjadi sebuah bangsa yang mampu mencipta, meneroka dan menginovasi produk dan perkhidmatan sekaligus dapat mengharungi cabaran di peringkat gobal. 

"Pemikiran lama sebagai bangsa pengguna atau penerima teknologi harus diubah kepada bangsa yang mencipta, meneroka dan menginovasi," katanya. - Bernama