Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 7 petang berhampiran Kampung Sengsang, Pos Brooke, di sini, ketika ribut dan hujan lebat menyebabkan air dari bukit di kawasan itu turun sehingga melimpahi jalan.

Selain itu, air lumpur yang mengalir dari atas bukit itu juga memusnahkan tananam dan kebun penduduk Orang Asli.

Seorang pengguna jalan itu, Ahmad Zainal Abidin, 45, berkata, ketika kejadian dia bersama keluarga dalam perjalanan pulang dari Cameron Highlands ke Gua Musang.

Katanya, setibanya di lokasi itu dalam keadaan hujan lebat dia melihat ketulan batu terjatuh dari atas bukit, tempat diusahakan kebun sayur.

“Pada mulanya hanya beberapa ketulan batu kecil sahaja yang jatuh dan beberapa minit selepas itu semakin banyak dengan disusuli air lumpur mengalir ke atas permukaan jalan.

“Apabila keadaan semakin buruk, kami terpaksa memecut laju kenderaan dan syukur kerana terselamat, tetapi banyak lagi kenderaan yang terpaksa berhenti di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Seorang penduduk Orang Asli Kampung Sengsang, Abu Along, 40, berkata, penduduk Kampung Sengsang pertama kali berdepan kejadian buruk itu dan sebelum ini hanya pernah berlaku di Kampung Jedip.

Katanya, dia juga terkejut apabila melihat air lumpur turun dari bukit dengan kuat bersama ketulan batu dan merosakkan tanaman mereka.

“Ketika kejadian itu, kami berada di rumah tidak jauh dari tempat kejadian dan turut bersiap pindah jika keadaan boleh mengancam keselamatan.

“Mujurlah kejadian itu reda setengah jam selepas hujan berhenti dan kemudian kami bergegas ke lokasi melihat tanaman habis musnah," katanya.

Sementara itu, Penghulu Pos Brooke Lama, Riang Bujang berkata, kejadian itu membimbangkan keselamatan kebanyakan penduduk Orang Asli kerana boleh mengancam nyawa.

Katanya, perkampungan Orang Asli di kawasan itu tidak lagi selamat kerana semua bukit di sekitarnya digondolkan syarikat kebun sayur. - K! ONLINE