Beliau berkata, parti itu memandang berat logik di sebalik cadangan pemansuhan akta itu yang digubal untuk menjaga ketenteraman awam daripada anasir yang boleh mengganggu-gugat keselamatan negara dan tidak langsung menyentuh soal politik individu.

"Dengan cadangan untuk menarik balik undang-undang 'draconian' yang beliau (Tun Dr. Mahathir) sendiri pertahankan antara tahun 1981 dan 2003 dikhuatiri negara akan lebih terancam dengan meledaknya era 'free for all' internet dan media massa serta perbuatan yang menjurus ke arah menggugat ketenteraman awam," katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Semalam Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan memansuhkan undang-undang yang banyak menindas rakyat khususnya SOSMA.

Dengan hasrat melupuskan Akta Hasutan 1948 dan Akta Anti-Berita Palsu 2018, kerajaan nampaknya mahu menggalakkan provokasi dan sentimen agama, kaum dan politiki dalam negara, kata Ahmad Zahid yang juga Ketua Pembangkang dalam Parlimen. - Bernama