Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Mohd. Abdul Kadir berkata, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian penjagaan kanak kanak.

"Polis akan mengambil tindakan yang tegas ke atas mana-mana individu yang terlibat dengan kesalahan berkaitan basikal lajak. Pesalah boleh diambil tindakan di bawah Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959(LN166/59) dan boleh dikenakan denda maksimum RM2,000.

"Sekiranya pesalah ini masih lagi di bawah umur, ibu bapa terhadap pesalah juga boleh dikenakan denda RM20,000 dan boleh dipenjara maksimum 10 tahun," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau mengulas rakaman video yang tular di media sosial hari ini menunjukkan sekumpulan kanak-kanak melakukan aksi berbahaya 'superman' menggunakan basikal lajak di Lebuh Raya LEKAS semalam.

Perbuatan pada siang hari itu sempat dirakam oleh salah seorang pengguna lebuh raya berkenaan dengan mengggunakan telefon bimbit.

Rakaman video berdurasi 50 saat itu dipercayai diambil sebelum susur masuk ke Seremban dan Ampangan di lebuh raya tersebut.

Ibrahim berkata, siasatan awal polis mendapati kejadian itu berlaku pada waktu tengah hari melibatkan sekumpulan kanak-kanak lelaki menunggang basikal lajak dengan aksi 'superman' dan laju menuruni lebuh raya.

Menurut beliau, lebih membimbangkan aktiviti merbahaya itu dilakukan oleh kanak-kanak terbabit tanpa menghiraukan kenderaan lain di lebuh raya tersebut.

Kata beliau, mekanisma keselamatan tidak diambil kira oleh kanak-kanak itu termasuk penggunaan basikal yang selamat dan pemakaian gear berbasikal yang betul.

Tambah beliau, polis sedang mengesan geng basikal lajak tersebut di sekitar Seremban dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan kepada pihak polis.

"Ibu bapa dinasihatkan supaya sentiasa memantau aktiviti anak mereka. Segala aktiviti anak-anak harus diperhatikan dan diambil serius supaya tidak terlibat dengan aktiviti merbahaya seperti ini kerana ia bakal mengundang padah kepada anak-anak dan pengguna jalan raya yang lain," katanya. - K! ONLINE