Bertambah menarik, bas bandar raya yang menawarkan tambang serendah RM1 itu turut membawa penumpang ke beberapa lokasi di sekitar ibu negeri.

Antaranya ialah Harbour City, Grace Court, Sembulan, Masjid Negeri Sabah dan pusat beli-belah Imago KK Times Square.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai berkata, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menyambut baik inisiatif pihak HQE memperkenalkan perkhidmatan bas bandar raya berkenaan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan ruang parkir khususnya di kawasan hospital terbabit.

“Tindakan proaktif seumpama ini wajar diberi pujian kerana secara tidak langsung membantu pihak berkuasa tempatan mengatasi masalah lalu lintas.

“Justeru, orang ramai jangan lepaskan peluang menggunakan perkhidmatan bas ini kerana ia bukan sahaja mudah diakses malah ditawarkan tambang pada harga berpatutan,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis  Penyerahan Sijil Hospital Tanpa Sampah dan Pelancaran Perkhidmatan Bas Bandar Raya di Bangunan Menara Berkembar HQE 1 di sini .

Turut hadir ialah Pengarah HQE, Dr. Heric Corray; Pengarah Urusan Syarikat Mustika Enterprise Sdn. Bhd., Datin Jahara Patimbangi dan wakil Pengarah Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan  Sabah, Noraziah Aslan.

Dalam pada itu, Boon Hai memberitahu, HQE 1 merupakan hospital kedua diiktiraf tanpa sampah selepas HQE II mendapat pengiktirafan yang sama pada Oktober tahun lalu.

Beliau turut menyarankan agar pihak pengurusan HQE 1 sentiasa memastikan persekitaran di luar atau dalam bangunan hospital  bebas sampah sebelum pengiktirafan itu ditarik balik. - K! ONLINE