Pengarah KPDNHEP negeri, Jaiya Abu berkata, sepanjang Ramadan ini pihaknya hanya menerima dua aduan berhubung barangan tiruan, namun perniagaan itu dikesan berlaku di beberapa bazar di negeri ini.

Katanya, bagaimanapun tindakan penguatkuasaan secara terus sukar dilakukan ekoran perlu mendapatkan pengesahan daripada pemilik cap dagang untuk ketulenan barang. 

"Setakat ini kita hanya menerima dua aduan sahaja dan penguatkuasaan hanya dapat dilakukan apabila pemilik cap dagang hadir bersama-sama kami untuk mengenal pasti ketulenan barang.

"Situasi perniagaan barangan tiruan ini sentiasa berada di pasaran terutama menjelang musim perayaan kerana ia mendapat permintaan tinggi pelanggan yang mahukan barangan berjenama pada harga murah," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2019 di pasar raya Mydin MITC di sini hari ini.

Turut hadir merasmikan program tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Sumber Manusia, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Hal Ehwal Pengguna negeri, G. Saminathan.

Pada program itu, sebanyak 24 jenis barangan telah dikenal pasti bagi pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2019 selama 30 hari berkuat kuasa dari 21 Mei hingga 19 Jun depan. 

Saminathan dalam pada itu berkata, senarai barangan pada tahun ini mempunyai pertambahan melibatkan bekalan ikan segar beku kembung, ikan segar beku selar, ikan segar beku selayang, kacang panjang, kacang tanah dan cili kering. 

"Selain itu, beberapa barangan lain yang kebiasaannya dikawal harganya pada tempoh tersebut adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A hingga C, daging lembu tempatan dan cili kering," tambahnya. - K! ONLINE