Ia terbongkar berikutan penahanan anak angkat perempuan mangsa yang berusia 26 tahun di sebuah rumah di Batu 4, Binjai di sini pada pukul 7 malam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, wanita yang berusia 52 tahun menyedari barangan kemas berupa lima utas gelang tangan, tiga bentuk cincin, tiga utas rantai leher, anting-anting dan loket milik mangsa dan ahli keluarganya yang disimpan di sebuah laci almari bilik tidur utama telah hilang.

"Pada mulanya mangsa menyangkakan rumahnya di Kampung Baru Binjai di sini telah dipecah masuk memandangkan tingkap bilik tidur itu terlupa ditutup ketika dia tiada rumah sejak Sabtu lalu.

"Dia kemudiannya membuat laporan berhubung kehilangan tersebut di Balai Polis Chukai di sini pada pukul 10.45 pagi semalam," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Hanyan berkata, siasatan kemudiannya mendapati salah satu gelang tangan dilaporkan hilang itu telah dipajak di sebuah kedai pajak gadai di daerah ini oleh suspek yang juga anak angkat mangsa pada Sabtu lalu. - K! ONLINE