Koperal Mohd Amin Musa, 51, yang bertugas di Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (STaRT), di Kompleks Stor Menyimpan Senjata (SMS), di sini, berkata, sejak menjadi anggota polis selama 32 tahun, ini adalah kali pertama beliau mengundi dalam PRK.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Saya datang ke sini untuk mengundi dan menunaikan tanggungjawab saya sebagai rakyat Malaysia.

"Sebelum ini, saya mengundi di Petaling Jaya, ini kali pertama saya mengundi di kompleks ini," katanya ketika ditemui di Kompleks SMS Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Seksyen U2 di sini hari ini.

Pengundian awal bagi PRK DUN Seri Setia melibatkan seramai 2,770 pengundi terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta 173 pegawai dan anggota polis.

Dua  pusat pengudian awal telah di buka bagi PRK tersebut iaitu bagi tentera dan pasangan mereka di Dewan Serbaguna Ababil, Pangkalan Udara Subang, manakala bagi pegawai dan anggota polis pula di Kompleks SMS Polis Diraja Malaysia (PDRM), Seksyen U2 di sini.

PRK Dun Seri Setia diadakan selepas penyandangnya, Prof Dr. Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia di Hospital Putrajaya akibat barah usus pada 2 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Dr. Shaharuddin yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Negeri itu memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan dengan majoriti 19,372 undi.

Beliau mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Yusoff HM Haniff; Mohd. Ghazali Daud (Pas) serta calon Bebas, S. Vigneswaran. - K! OLINE