Komander Aksem Perlis, Deputi Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 30 dan 53 tahun itu ditahan di kediaman mereka yang dijadikan kedai runcit mini itu kira-kira pukul 5 petang semalam hasil risikan lebih sebulan.

"Mereka berdua menjual barangan runcit seperti bawang, minyak masak dan sayur-sayuran di bahagian depan kedai untuk mengaburi pihak berkuasa.

"Namun, bagi pelanggan tetap , terdapat stor khas memuatkan rokok seludup dan ubat batuk dibelakang rumah bagi memenuhi permintaan mereka.

"Pintu laluan utama stor itu disembunyikan di sebalik sebuah almari. Sumber dan cara kedua-dua suspek mendapatkan barangan itu masih disiasat," katanya kepada pemberita pada sidang media khas di Kompleks Aksem Padang Besar di sini hari ini.

Dalam pada itu, rokok putih jenama John dan rokok kretek Surya sebanyak 1,320 kartun bernilai RM61,840 termasuk cukai dirampas.

Selain itu, 1,800 botol ubat batuk jenama 'dynadryl' syrup bernilai RM18,000 serta 701 botol minuman bertenaga jenama M150, bahan perencah makanan dan pelbagai jenis sos yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bernilai RM4,258 turut dirampas. - K! ONLINE