Mangsa berusia 62 tahun itu mengalami luka sepanjang 13 sentimeter selepas dikelar anaknya yang berumur 33 tahun dan merupakan seorang penagih dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan berkata, mangsa yang menderita lumpuh sejak lima tahun lalu itu dilaporkan stabil dan dirawat di Hospital Kemaman, Terengganu.

"Kejadian dilaporkan isteri mangsa yang berusia 54 tahun. Ketika kejadian itu, isteri mangsa sedang bekerja di Kemaman.

"Mangsa berada di rumah bersama dua anak lelakinya berusia 30-an. Kejadian disedari abang suspek yang berada di dalam bilik dan melihat suspek keluar dari rumah," ujar Othman menerusi kenyataan kepada pemberita hari ini.

Beliau menambah, polis berjaya menahan suspek yang bersembunyi di kawasan belukar berhampiran lokasi kejadian.

Kata beliau lagi, siasatan awal mendapati suspek tidak bekerja dan mempunyai satu rekod jenayah berkaitan penagihan dadah.

"Ujian saringan urin telah diambil dan didapati positif dadah. Setakat ini, punca kejadian masih belum dapat disahkan.

"Senjata yang digunakan oleh suspek juga sedang dikesan," tambahnya sambil memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE