Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah, Noraishah Ahmad di Mahkamah Majistret Taiping terhadap suspek yang merupakan bapa bayi tersebut di sini hari ini.

Lelaki berusia 21 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan, seorang bayi perempuan berusia enam bulan meninggal dunia selepas dipercayai didera di Hospital Taiping di sini kelmarin.

Bayi yang dikenali sebagai Nur Khayra itu dihantar ke hospital kira-kira pukul 6.30 petang Jumaat lalu oleh ibu bapanya selepas dia tidak sedarkan diri dipercayai akibat terjatuh dari buaian.

Bayi itu dirawat di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU) dan telah diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).

Laporan pengimbasan tomografi berkomputer terhadap bayi itu menunjukkan bahawa mangsa mengalami pendarahan di bahagian otak dan di dalam mata. - K! ONLINE