Timbalan Menterinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, sektor pertanian menyediakan pelbagai ruang untuk kaum minoriti itu meningkatkan taraf hidup dan pendapatan menerusi bidang tanaman, ternakan, perikanan, industri asas tani termasuklah keusahawanan.

"Peluang ini terbuka luas kepada Orang Asli untuk bergiat aktif dalam bidang pertanian bagi mengelakkan diri mereka daripada dibelenggu garis kemiskinan.

"Kerajaan komited untuk membela nasib Orang Asli bagi memastikan mereka tidak akan tertinggal dan terpinggir, jadi mereka perlu rebut peluang yang ada di depan mata," katanya.

Tajuddin yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Gelombang Tani Nasional (GTN) 2018 Semarak Tani Orang Asli @ Pasir Salak di Perkampungan Orang Asli Redang Punggur di sini semalam. - Bernama