Radio dan pemain kaset bergerak ini bersepadu di pelbagai lokasi dan situasi.

Ia dibawa ke mana sahaja oleh anak muda, waima semasa berjoging, menelaah di perpustakaan, berada di bilik kuliah, dalam bas dan kereta api, malah di bilik air asrama.

Tidaklah selama mana pun selepas itu atau hampir dua dekad, Walkman menjadi artifak di muzium teknologi.

Tempat dan statusnya dirampas peranti berbentuk empat segi yang pada awalnya dinamakan telefon bimbit sebelum berevolusi menjadi telefon pintar. 
Ia sinonim dengan semua golongan, tidak kira kaya atau miskin, tua ataupun muda.

Membawa sebuah telefon pintar ibarat anda membawa telefon, komputer, mesin taip, mesin faks, kamera, perakam video, surat khabar, fail, permainan arked, ensiklopedia dan banyak lagi dalam satu peralatan ke mana-mana sahaja.

Telefon pintar harus dibawa bersama dan anda sukar berenggang dengannya sehinggakan tanpa peranti itu tidak keterlaluan untuk dikatakan mood anda boleh bertukar 360 darjah.

Peranti apakah yang anda lihat dahulu selepas bangkit daripada tidur? Anda sedia maklum akan jawapannya.

Pernahkah anda keluar minum dan bersantai tetapi terlupa membawa telefon pintar sehinggakan untuk duduk pun tidak keruan.

Anda murung, manakala teh tarik kegemaran anda pun berasa kelat.

Atau pernahkah anda bersantai dengan kawan-kawan di kedai mamak dan yang kedengaran hanyalah usikan mergastua seperti anda seorang diri jauh di ceruk rimba?

Penulis pernah makan bersama seorang rakan satu pejabat yang melekat pada telefon pintarnya kerana bermain permainan zombi.

Sepanjang ‘acara sosial’ itu hanya dua bait komunikasi yang terungkap: “Makanlah dulu” yang dibalas “sila, sila”, diikuti hampir 30 minit kemudian, “jom naik”.

Semua ini penangan te­lefon pintar dan penulis pula ralat untuk membentangkan senario melibatkan kaum hawa kerana asyik tergambar ‘bawang’ di dalam kepala tetapi itu cerita lain.

Persoalannya di sini, mengapa ramai orang ter­utama remaja dan belia tidak boleh berenggang dengan telefon pintar.

Pada hemat penulis, ia mungkin ada kaitan dengan teori behaviorisme dipelo­pori saintis Rusia, Ivan Petrovich Pavlov.

Apabila telefon pintar selalu ada bersama, lama-kelamaan, ia menimbulkan faktor ‘puas’ dalam diri anda sehinggakan emosi tersebut ‘dilupakan’ apabila peranti tersebut tiada.

Telefon pintar ‘pada ketika itu’ merupakan isyarat untuk sistem badan anda merembes hormon endorfin, dopamina dan serotonin.

Pernah anda mendengar lagu popular satu ketika dahulu bertajuk Gadis Jolobu? Liriknya turut terkandung bait: “Jangan salah anggap napo lobihkan pompuan, sobab laki boleh hidup kalau campak dalam hutan.”

Kebenaran dalam kata-kata tersebut mungkin sedikit goyah jika di­aplikasikan kepada gene­rasi terbaharu masa ini, generasi Y dan Z.

Pada hemat penulis, tidak kira sama ada lelaki atau perempuan, kalau dicampak ke dalam hutan pun, kenalah tengok hutan mana yang mereka dicampakkan untuk memastikan mereka dapat terus hidup.

Kalau hutan itu ada line telefon pintar, rasanya tiada masalah untuk mereka tetapi kalau sebaliknya pula, boleh mati kering dibuatnya.

Penulis berpendapat ia tidak sepatutnya begitu kerana anda masih ada orang tersayang dan rakan-rakan yang memerlukan perhatian anda dan bukannya telefon pintar.