Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pinjaman yang akan diselaraskan oleh Kementerian Industri Utama itu akan disediakan kepada golongan pekebun kecil persendirian pada kadar faedah rendah dua peratus setahun.

Menurutnya, kerajaan juga menyediakan dana pinjaman mudah sebanyak RM50 juta pada kadar faedah dua peratus setahun bagi membiayai input dan bahan penanaman sawit dengan penggunaan benih yang disahkan baka terkini dan berkualiti.

"Program pinjaman mudah ini diharap dapat membantu meringankan beban kewangan para pekebun kecil dalam melaksanakan penanaman semula sawit.

"Usaha ini bersama dengan penanaman semula bakal meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun kecil," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, kerajaan juga akan menambah dana sehingga RM100 juta dalam usaha 
menggalakkan lebih ramai penanam sawit memperoleh pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sekali gus
mencapai 100 peratus pensijilan menjelang 31 Disember depan.

Menurutnya, kerajaan dalam ucapan Belanjawan 2018 sebelum ini telah memperuntukkan RM30 juta bagi pensijilan MSPO.

"Kerajaan akan menanggung 100 peratus kos pensijilan MSPO daripada 70 peratus sedia ada bagi pengusaha sawit yang mempunyai penanaman sederhana bersaiz antara 40 hingga 1,000 hektar.

"Kerajaan juga akan menambah bantuan untuk kos pengauditan daripada 30 ke 50 peratus dan insentif ini akan dibayar setelah pengusaha berjaya mendapat pensijilan," jelasnya.

Sementara itu, Guan Eng berkata, bantuan untuk pekebun sawit diperkenalkan atas keprihatinan kerajaan terhadap keadaan semasa yang dihadapi pengusaha sawit berikutan harga komoditi minyak sawit yang rendah.

"Penyediaan dana pinjaman mudah dan bantuan terutamanya kepada pekebun kecil untuk penanaman semula adalah bagi menjamin kebajikan pengusaha sawit selain mengukuhkan kedudukan negara sebagai pengeluar sawit mampan utama di dunia," katanya. - K! ONLINE