UFC merupakan syarikat perkhidmatan makanan bagi firma barangan pengguna antarabangsa, Unilever.

Ketua Negara UFS Malaysia, Nusrat Perveen berkata, latihan kepada peniaga bazar Ramadan itu merupakan inisiatif syarikat tersebut sejak tahun 2013 bagi mengurangkan amalan pembaziran makanan dalam kalangan penduduk negara ini.

“Berdasarkan data Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia pada tahun 2016, rakyat Malaysia membazirkan sebanyak kira-kira 8,000 tan makanan setiap hari dan dijangka meningkat sebanyak tiga kali ganda pada Ramadan.

“Sehubungan itu, UFS telah menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam aspek pendidikan pengurusan sisa dan lebihan makanan.

“Ia melibatkan kira-kira 43,000 pengusaha makanan termasuk peniaga bazar Ramadan di seluruh negara,” katanya selepas merasmikan program tersebut di Stadium Negeri dekat sini kelmarin.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan dan Persekitaran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Mohd. Adzhar Mohd. Zahari.

Nusrat berkata, program berkenaan yang julung-julung kali diadakan di bandar raya ini turut memberi pendedahan berhubung peningkatan kualiti dan perkhidmatan makanan dalam kalangan 1,000 pengendali makanan di Terengganu.

Menurut beliau, antara amalan kawalan pembaziran dan lebihan makanan yang diajar kepada peniaga bazar Ramadan terbabit ialah perancangan penyediaan bahan jualan mengikut cuaca, kos bahan mentah, sambutan orang ramai dan isu semasa.

“Peniaga bazar Ramadan boleh melebihkan makanan pada awal bulan Ramadan sebelum membuat pelarasan semula pada minggu-minggu selepas itu berdasarkan sambutan yang diterima.

“Mereka juga perlu prihatin kepada petunjuk biologi yang boleh merosakkan makanan seperti asid, suhu, oksigen dan kelembapan bagi mengelakkan gejala keracunan makanan.

“Ini bukan sahaja boleh menjejaskan kesihatan pelanggan , malah memberi kesan negatif kepada perniagaan,” katanya.